Oh, comelnya! Festival Charity Gala Dinner Runway tonjol bakat anak-anak Sindrom Down dalam bidang peragaan

  • November 6, 2023
  • 3 min read
Oh, comelnya! Festival Charity Gala Dinner Runway tonjol bakat anak-anak Sindrom Down dalam bidang peragaan

Kuala Lumpur- Seramai 49 kanak-kanak luar biasa dengan Sindrom Down dan bakat istimewa lain memperagakan busana daripada 7 pereka fesyen tempatan seperti NanaBridal Kuala Lumpur, Collar KL, Adore Kids, Starvillion, Rahsia, Anak Jantan KL dan Khatam bersempena Festival Extra Chromosome Extra Awesome (ECEAF).

Festival tersebut telah berlangsung di CNICC, Menara PGRM, Kuala Lumpur pada 4 November 2023 dan bertujuan untuk meraikan inklusiviti anak-anak sindrom down dan lain lain keperluan.

Festival Charity Gala Dinner Runway ini adalah untuk mengetengahkan bakat komuniti Sindrom Down dalam dunia fesyen dan peragaan selain mengumpul dana bagi tiga pertubuhan NGO iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) Putrajaya, Persatuan Warga Sindrom Down Negeri Selangor (PWSDNS) dan Persatuan Sindrom Down Malaysia  yang melakukan advokasi buat anak-anak Sindrom Down sejak tahun 2010 lagi.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD), Puan Hanizan Hussin, festival ini dianjurkan sebagai kesedaran untuk mengetengahkan bakat yang ada pada komuniti Sindrom Down di mana komuniti ini juga berupaya menjayakan festival mengikut aturcara yang ditetapkan seperti insan yang lain dan dalam masa yang sama dapat melakukan aktiviti yang mereka gemari. 

Sokongan padu daripada masyarakat, golongan korporat, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta individu persendirian diperlukan bagi menjayakan misi dan visi untuk meningkatkan kualiti kehidupan komuniti ini dan keluarga mereka.

“Jadi kita nak orang tahu anak kita boleh belajar. Anak kita boleh disiplinkan diri. Anak kita boleh diterapkan kemahiran dengan apa-apa yang mereka minati. Dengan cara ini kita harap dapat membuka mata masyarakat. Kita dapat banyak bantuan CSR dan ramai yang secara sukarela untuk membantu kita memastikan majlis berjalan dengan baik. Walaupun tak ramai, tapi kita rasa bertuahlah sebab semua orang menyebarkan rancangan kita. Jadi kita harapkan ibu bapa juga cakna dan dapat melihat sebenarnya bagaimana kita dapat menjayakan program ini”, katanya.

Sementara itu, “With Us, Not For Us” merupakan tema yang terpilih bagi sambutan Hari Sindrom Down Sedunia yang bakal berlangsung pada tanggal 21 pada bulan Mac setiap tahun.

Menurut Puan Hanizan, tema yang terpilih pada peringkat antarabangsa itu diangkat sebagai satu mesej untuk bersama-sama dan bukan sekadar memberi sahaja kepada penghidap Sindrom Down. Oleh yang demikian, ibu bapa dan masyarakat disyorkan agar turut serta dalam memberi penghargaan kepada komuniti tersebut.

“Saya menyarankan buat setiap ibu bapa dan masyarakat di luar untuk memberikan pengiktirafan kepada anak kita sebab pada 21 haribulan Mac adalah Hari Sindrom Down Sedunia. Jadi pada tiap-tiap 21 haribulan, kita akan menyambut Hari Sindrom Down di tempat kami masing-masing untuk memberi penghargaan kepada anak-anak ini mengikut tema yang telah diberikan setiap tahun,” ujarnya. – UTVMediaMsia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *