Pavilion REIT Raikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti Sri Rakyat

Bukit Jalil, 9 Mac – Pavilion REIT buat pertama kalinya menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama komuniti Sri Rakyat, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang dengan tema Kemeriahan Bersama. Acara yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih 500 ahli komuniti Sri Rakyat dan turut disertai oleh pelbagai penyewa mall.

Majlis ini merupakan inisiatif sulung Pavilion REIT dalam usaha menyatukan komuniti dalam suasana penuh kasih sayang dan kemeriahan. Menurut Pengarah Pemasaran Pavilion Malls, Kung Suan Ai, penganjuran majlis seperti ini adalah satu langkah positif untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti serta mewujudkan persekitaran yang harmoni.

“Hari ini, menerusi majlis berbuka puasa ini, kita dapat lihat bagaimana lebih 30 penaja tampil berganding bahu demi memeriahkan suasana. Ia bukan sahaja mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh, malah mengeratkan lagi hubungan antara komuniti dan penyewa mall,” kata Kung.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang majlis, termasuk bengkel interaktif, permainan untuk kanak-kanak, serta persembahan nyanyian dan instrumen dari Kelab Belia Setiakawan dan gamelan oleh IPG Raja Melewar Seremban. Juadah berbuka puasa pula disumbangkan oleh pelbagai penyewa Pavilion Malls, antaranya Grandmama’s, A&W, Jollibee, Subway, Rotiboy, Food Republic, Inside Scoop, TGV, serta minuman daripada HWC, San Francisco Coffee dan F&N.


“Kami juga menyediakan beg cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada para tetamu, termasuk kanak-kanak yang gembira menikmati aiskrim, popcorn, biskut dan pelbagai snek ringan,” tambah Kung.
Sebagai sebahagian daripada kempen Ramadan dan Raya, Pavilion Bukit Jalil turut menampilkan elemen animasi tempatan kegemaran ramai, BoBoiBoy, yang membawa mesej persahabatan dan kemesraan sepanjang musim perayaan.


“Sepanjang bulan Ramadan hingga sambutan Hari Raya, pelbagai aktiviti menarik bersama BoBoiBoy telah dirancang bagi memeriahkan suasana serta merapatkan hubungan dalam kalangan komuniti,” jelas Kung.
Pengerusi Penduduk Apartmen Sri Rakyat, Encik Mansor Isa dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Pavilion Malls atas jemputan dan sokongan mereka dalam menjayakan majlis ini.


“Saya mewakili seluruh penduduk ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Terima kasih khas kepada pihak pengurusan Pavilion Bukit Jalil atas kesudian menjemput kami. Diharapkan majlis seperti ini dapat diteruskan dan diraikan dengan lebih meriah pada masa akan datang,” katanya.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak yang menerima beg cenderamata, melambangkan keterujaan mereka dalam meraikan Ramadan bersama masyarakat setempat.
Mengakhiri majlis, Encik Mansor turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua tetamu yang hadir, sambil berharap agar sambutan seperti ini terus memberikan sinar kebahagiaan buat komuniti di masa hadapan.

Dengan penganjuran majlis ini, Pavilion REIT berhasrat untuk menjadikannya acara tahunan, selaras dengan komitmen mereka untuk memperkukuh ikatan komuniti melalui penganjuran program kebajikan dan sambutan perayaan sepanjang tahun.
“Komuniti sentiasa menjadi keutamaan Pavilion REIT. Bukan hanya ketika Ramadhan, malah sepanjang tahun kami komited untuk menganjurkan pelbagai program yang mendekatkan masyarakat dan menyemarakkan semangat perpaduan,” ujar Kung menutup ucapan.