PELANCARAN PMS DAMAR BERKAT: TRANSFORMASI DARI PENEROKA UNTUK PENEROKA

BENTONG, 17 April 2025 – FELDA melakar satu lagi inisiatif strategik dalam usaha memperkasa komuniti peneroka apabila melancarkan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Lestari Felda Bukit Damar yang kini dikenali sebagai PMS Damar Berkat. Pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA.

Langkah Baharu Atasi Ketirisan RM200 Juta
Inisiatif ini merupakan respons FELDA terhadap isu ketirisan hasil sawit yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun akibat penjualan kepada orang tengah. Kini, pengurusan hasil peneroka diperluas melalui model baharu PMS yang menampilkan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai super dealer.
Melalui peranan ini, KPF akan membeli, mengumpul dan menghantar hasil sawit terus ke kilang. Pendekatan ini membina sistem pengurusan hasil yang lebih efisien, telus dan berpusat, sekaligus menjamin kualiti dan meningkatkan pendapatan bersih peneroka. Peneroka juga bakal menerima pulangan tambahan melalui dividen KPF.

“FELDA kini telah mewujudkan satu sistem yang telus dan efisien untuk menyelesaikan masalah masa lalu, dan yang lebih penting, memudahkan kehidupan para peneroka pada masa hadapan,” – YBhg Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek

Menyokong Agenda Kelestarian Global
Pelaksanaan PMS Damar Berkat turut menyokong komitmen Malaysia terhadap agenda kelestarian global, khususnya sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 di bawah Perjanjian Paris. Penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam proses pengumpulan hasil dijangka membantu mengurangkan jejak karbon serta membuka peluang baharu dalam perniagaan kredit karbon.

Impak Kepada Industri Sawit Negara
Dengan jumlah pengeluaran minyak sawit negara mencecah 18 juta metrik tan dan nilai eksport sebanyak 15 juta metrik tan, reformasi yang diperkenalkan ini diyakini akan memberi impak besar kepada industri sawit negara. FGV Holdings Berhad sahaja telah menyumbang 2.8 juta metrik tan, menandakan potensi besar dalam sistem pengumpulan hasil berpusat ini.
PMS Damar Berkat bukan sahaja simbol permulaan transformasi FELDA ke arah pengurusan moden dan lestari, malah turut memperkukuh kedudukan peneroka dalam keseluruhan ekosistem industri sawit negara – benar-benar mencerminkan semangat “dari peneroka, untuk peneroka”.