PELANTIKAN PENGARAH BESAR FELDA BAHARU
KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER 2024 – FELDA dengan sukacitanya mengumumkan
pelantikan Pengarah Besar baharu, YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Binti Osman
menggantikan YBhg. Dato’ Amiruddin Bin Abdul Satar, yang telah menamatkan
perkhidmatannya pada 14 Oktober 2024.
Dato’ Dr. Suzana merupakan wanita pertama yang dilantik ke jawatan ini,
mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan
pembangunan ekonomi negara. Langkah ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk
memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemacu utama ke
arah Malaysia yang progresif dan mampan.
Dato’ Dr. Suzana mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak
menyertai FELDA sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan
sebagai Ketua Jabatan Pelaburan FELDA pada tahun 2008.
Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai
Pelaburan PERKESO. Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih
tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan, dan
pengurusan aset institusi. Beliau menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga
pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara.
Dato’ Dr. Suzana juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil
(MSPO) dan ahli Lembaga Pengarah FELCRA. Sumbangan beliau semasa menjadi
Pengerusi MSPO menyerlahkan komitmennya terhadap industri dan pengurusan
lestari. Komitmen ini penting bagi memastikan FELDA memacu agenda kelestarian
yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam
sekitar.
Dato’ Dr. Suzana merupakan ahli Lembaga Pengarah FELDA dan syarikat-syarikat di
bawah Kumpulan FELDA, seperti FGV Holdings, MSM Holdings, dan Encorp Berhad.
Beliau juga memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli
Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator.
Dato’ Dr. Suzana memperoleh Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari
Universiti Putra Malaysia, Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari Huddersfield
University, UK, serta Advance Management Program dari Harvard Business School,
USA. Dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman tempatan dan
antarabangsa, serta kepimpinan yang berpandangan strategik, Dato’ Dr. Suzana
dijangka memperkasakan lagi strategi dan daya saing FELDA.
Dengan pelantikan ini, FELDA yakin bahawa Dato’ Dr. Suzana akan membawa FELDA
ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada
112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara.