KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2026 – Bersiap sedia untuk menyaksikan kisah perang yang bukan sekadar sarat dengan aksi dan ketegangan, tetapi turut mengangkat sisi kemanusiaan apabila filem drama perang bersejarah Peluru Senja (The Ghost & The Gun) bakal menemui penonton Malaysia dan Brunei mulai 28 Ogos 2026.
Mengambil latar Tanah Melayu pada 1948, filem arahan pengarah kelahiran Singapura, Anshul Tiwari, itu membawa penonton menyelami perjalanan dua lelaki daripada latar berbeza yang terperangkap dalam kesan dan trauma Perang Dunia Kedua.


Menariknya, kisah ini mempertemukan seorang anggota tentera Melayu dan seorang askar British yang ditinggalkan selepas pengunduran tentera British dari Tanah Melayu.
Dalam keadaan serba mencabar, kedua-duanya terpaksa berdepan perbezaan, rasa curiga serta luka peperangan yang masih menghantui, sebelum akhirnya bergantung antara satu sama lain demi mempertahankan sebuah kampung daripada ancaman kumpulan pemberontak bersenjata.
Filem ini mengetengahkan tema keberanian, pengorbanan, persahabatan dan semangat kemanusiaan, sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza kepada peminat filem perang yang mahukan lebih daripada sekadar babak aksi.
Lebih menarik, Peluru Senja tampil sebagai sebuah kolaborasi penerbitan antarabangsa yang menghimpunkan tenaga kreatif dan kru produksi dari Malaysia, Indonesia, Singapura, India, Bangladesh dan United Kingdom.

Barisan pelakonnya turut menampilkan nama-nama yang mempunyai pengalaman luas dalam industri perfileman, termasuk pelakon Malaysia Fabian Loo, yang pernah memenangi beberapa anugerah, serta Hazman Al-Idrus.
Mereka turut digandingkan bersama pelakon Indonesia Asmarа Abigail, yang dikenali menerusi karya seperti Stone Turtle dan Impetigore, selain pelakon Amerika Syarikat, Brett Tutor, yang pernah membintangi Monsters of Man.
Dari sudut produksi, filem ini diterbitkan oleh Ghost and Gun Limited dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures dan Viking Sunset Studios.
Sementara itu, MSK Cinemas Sdn Bhd bertindak sebagai pengedar rasmi pawagam bagi Malaysia dan Brunei, dengan kempen promosi menyeluruh merangkumi televisyen, media cetak, media digital, media sosial, kerjasama pencipta kandungan, promosi pawagam serta penganjuran Gala Premiere.


Dengan gabungan kisah sejarah, konflik bersenjata, aksi dan emosi, Peluru Senja (The Ghost & The Gun) dilihat mampu memberikan perspektif berbeza mengenai peperangan apabila dua individu yang pada asalnya dipisahkan oleh bangsa, seragam dan sejarah akhirnya terpaksa mencari titik persamaan untuk terus hidup.
Jadi, bagi peminat filem perang, sejarah dan kisah survival yang penuh debaran, jangan lepaskan peluang menyaksikan Peluru Senja (The Ghost & The Gun) di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2026.
Peluru Senja – apabila musuh terpaksa bersatu untuk terus hidup.



