Perlu Dokumentasikan Sejarah Muzik Seni Nasyid di Malaysia Agar Dihargai & Terpelihara – Senator Dr. Zulkifli Hasan

  • December 4, 2024
  • 2 min read
Perlu Dokumentasikan Sejarah Muzik Seni Nasyid di Malaysia Agar Dihargai & Terpelihara – Senator Dr. Zulkifli Hasan

Begitu besar harapan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam mewujudkan satu dokumentasi sejarah nasyid di Malaysia dalam menghargai insan-insan yang telah mewarnai industri nasyid dari dulu sehingga kini.

Seperti kita ketahui, di Malaysia pendedahan irama muzik nasyid agak kurang dimainkan di media saluran arus perdana disebabkan terlalu banyak genre muzik lain yang lebih diminati oleh masyarakat.

Namun, lagu-lagu kedamaian dan keharmonian ini masih lagi mendapat tempat khusus di hati peminat dalam mencari ketenangan serta pahala dalam sesebuah lagu nasyid.

Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, perancangan yang teliti harus dilakukan sebelum membuat dokumentasi sejarah nasyid ini kerana pelbagai kumpulan-kumpulan dan artis nasyid yang terlibat.

” Saya harap semua dapat doakan kerana untuk membuat dokumentasi ini perlukan masa,” katanya.

Turut hadir dalam Pelancaran Lagu ‘Dunia Indah Bersama’ nyanyian ZAWFAN dan Mirwana, lirik yang di tulis penuh makna oleh Senator Dr. Zulkifli Hasan sendiri bersama-sama Hafiz Tamizi, Zairudin Hashim dan Sirr Muhammad.

Lirik lagu ini memupuk manusia supaya jadi lebih baik, saling hormat antara satu sama lain, kasih sayang dan kedamaian dalam kehidupan bersama.

Tambah Senator Dr. Zulkifli Hasan, nasyid bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai satu asas pembinaan negara.

“Setiap manusia mencari citra keperibadian diri dalam lagu-lagu nasyid, banyak nilai-nilai baik dapat dipupuk dalam sanubari masyarakat seterusnya membangunkan masyarakat yang menyeluruh dan mengikut konsep Madani,” katanya.

” Lagu ‘Dunia Indah Bersama’ ini diharapkan dapat menjadi lagu tema dalam setiap program perpaduan dan pendidikan supaya mesej positif dalam lagu ini dapat diterapkan, ” katanya.

Boleh dengarkan lagu ‘Dunia Indah Bersama’ di Youtube Zawfan Official, platform digital seperti Spotify, Apple Music dan lain-lain serta dimainkan di SALAM.fm, IKIM.fm dan stesen radio tempatan di seluruh negara. – UTV

Lirik Lagu Dunia Indah Bersama

Dunia lebih indah,
Andai kita bersama,
Saling menghormati,
Saling memahami,
Beza antara kita.
Buang segala sengketa lama
Dendam derita sesama kita
Suburkan kembali kasih sayang,
Tali persaudaraan sesama kita,
Yang jauh dekatkan,
Yang dekat rapatkan… semula.
Bina bangsa sejahtera,
Hidup aman sentosa,
Bersatu kita kan teguh
Bercerai pasti kan runtuh.
Suburkan kembali kasih sayang,
Tali persaudaraan sesama kita,
Yang jauh dekatkan,
Yang dekat rapatkan…
Suburkan kembali kasih sayang,
Tali persaudaraan sesama kita,
Yang jauh dekatkan,
Yang dekat rapatkan… semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *