Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia Santuni 60 Pelajar Asnaf PPR Hiliran Ampang Dalam Majlis Berbuka Puasa

KUALA LUMPUR, 7 Mac 2026 – Seramai 60 pelajar asnaf dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Hiliran Ampang diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa “Salam Ramadhan Prihatin Asnaf Cahaya Qasih 1447H” yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia (PKCQM) di BON N SON, Kampung Cheras Baru di sini.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan kebersamaan ini bertujuan menyantuni pelajar daripada golongan B40 serta memberi peluang kepada mereka menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana lebih istimewa sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Majlis tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai salah satu inisiatif untuk meringankan beban pelajar daripada golongan B40 serta menyemarakkan pengisian Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan kerohanian.


Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia, Mazlan Sutan, program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan persatuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan khususnya anak-anak asnaf.


“Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi merupakan satu platform untuk menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat. Kami berharap usaha kecil ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak asnaf agar mereka merasai bahawa mereka sentiasa dihargai dan tidak pernah dilupakan,” katanya.


Majlis tersebut turut diisi dengan tazkirah ringkas Ramadan, sesi berbuka puasa bersama, solat berjemaah serta penyampaian sumbangan duit raya dan barangan keperluan asas kepada para pelajar yang diraikan.


Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar asnaf menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana yang lebih istimewa di samping mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan golongan yang memerlukan serta memupuk semangat prihatin dan budaya memberi dalam kalangan komuniti.

Majlis ini turut mendapat sokongan daripada beberapa penyumbang budiman yang tampil berkongsi rezeki dengan menyumbangkan sampul duit raya kepada pelajar yang hadir. Antara penyumbang yang terlibat ialah Yang Berbahagia Datuk Md Nasir Ghani, Pengarah Urusan KV Resources Sdn Bhd, YB Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Altimet), Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Kolonel Azlan Mustaffa dan keluarga, Encik Azham Mustaffa dan keluarga, serta Kapten Bon yang turut menaja lokasi majlis berbuka puasa tersebut.


Dalam pada itu, pihak Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia amat mengalu-alukan sokongan daripada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), individu perseorangan serta mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menjayakan aktiviti kebajikan persatuan ini melalui sumbangan kewangan, tajaan makanan atau barangan keperluan.


Sebarang pertanyaan, tajaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Timbalan Pengerusi PKCQM, Puan Elyza Hj Mustaffa di talian 018-2453371 atau melalui emel dkasih15@gmail.com.my.


Semoga usaha ini menjadi asbab keberkatan dan ganjaran pahala yang berterusan buat semua penyumbang serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program kebajikan ini. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *