Kerajaan Sabah Perkenal Bantuan Tiket Penerbangan Untuk Mahasiswa

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pengangkutan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mahasiswa Sabah yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Antara bantuan yang diperkenalkan ialah Program Bantuan Graduan Rindu Sabah (GRS/Subfly) yang menyediakan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sejak diperkenalkan pada 2024, seramai 19,505 pelajar IPT telah menerima manfaat dengan jumlah perbelanjaan sekitar RM11.7 juta bagi tahun 2025.


Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) berupa bantuan sekali beri sebanyak RM300 kepada pelajar IPT dalam negeri Sabah bagi meringankan kos pengangkutan pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan. Tahun ini, seramai 22,649 pelajar menerima bantuan tersebut melibatkan peruntukan RM6.79 juta.


Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan turut menyediakan bantuan FLYSISWA sejak 2023 bagi pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menggunakan laluan penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.


Inisiatif-inisiatif ini bertujuan meringankan beban kos perjalanan pelajar serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan mahasiswa Sabah yang menuntut di dalam dan luar negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *