Program Advokasi kepada penunggang motosikal yang menjadi penyumbang nahas tertinggi jalan raya

  • April 25, 2022
  • 2 min read
Program Advokasi kepada penunggang motosikal yang menjadi penyumbang nahas tertinggi jalan raya

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 bermula pada 29 April 2022 hingga 8 Mei 2022 selari dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Pengangkutan.


Ops HRA 2022 ini akan dilaksanakan melalui pendekatan advokasi dan penguatkuasaan dengan objektif utama untuk memastikan persekitaran jalan raya di Malaysia sentiasa selamat seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Pendekatan yang digunakan ini juga selari dengan objektif penguatkuasaan JPJ untuk meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) atau kebolehlihatan penguatkuasaan bagi memastikan supaya semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya untuk keselamatan bersama.

Aktiviti yang dijalankan pada malam ini merupakan program Penguatkuasaan Pra Hari Raya Aidilfitri iaitu menyampaikan advokasi kepada penunggang motosikal yang merupakan penyumbang nahas kemalangan jalan raya yang tertinggi setiap tahun.

Advokasi yang disampaikan adalah berbentuk nasihat bagi memupuk kesedaran orang ramai supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya berteraskan slogan “pandu cermat dan selamat sampai ke destinasi”.

Manakala, operasi penguatkuasaan khas motosikal pula akan dilaksanakan dalam tempoh Ops HRA 2022 dijalankan. Tindakan ini menunjukkan betapa pentingnya pemantauan ke atas penunggang motosikal
supaya keselamatan mereka sentiasa selamat semasa berada di atas jalan raya.


Dalam pada itu, pengguna jalan raya juga diharapkan dapat menjadi sebahagian daripada anggota penguatkuasa dengan melaporkan kesalahan lalulintas sepanjang tempoh Ops HRA 2022 ini dijalankan melalui penyaluran aduan menggunakan Aplikasi e-ADUAN@JPJ atau melalui aduan email JPJ aduantrafik@jpj.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *