KUALA LUMPUR, 15 Mac 2026 – Inisiatif kebajikan “Menyebarkan Harapan, Kekuatan dan Senyuman” dilaksanakan bagi menyantuni kanak-kanak pejuang kanser dan keluarga mereka sempena Ramadan.

Program yang berlangsung di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur serta lawatan kasih di Wad 10B Hospital Tunku Azizah itu melibatkan seramai 35 keluarga pesakit kanser kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan atau pemulihan.
Inisiatif tersebut bertujuan memberikan sokongan moral, emosi dan kewangan kepada keluarga yang berdepan cabaran besar sepanjang tempoh rawatan penyakit berkenaan.
Sepanjang program berlangsung, sukarelawan dan wakil organisasi terlibat mengagihkan pek Ramadan dan mini hamper kepada kanak-kanak serta keluarga mereka. Sumbangan itu bukan sahaja membantu meringankan beban sepanjang Ramadan, malah turut membawa keceriaan melalui hadiah kecil serta kata-kata semangat.
Selain itu, sebanyak 50 pek makanan turut diagihkan kepada pesakit kanser dan kakitangan di Wad 10B Hospital Tunku Azizah bagi memastikan mereka turut merasai semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama beberapa organisasi termasuk Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Malaysian Children’s Cancer Parents and Support Group, Adina Charity Circle dan Hawks International.
Penganjur berharap inisiatif tersebut dapat terus memupuk budaya empati dan keprihatinan masyarakat terhadap kanak-kanak yang berjuang melawan kanser, selain memberi sokongan moral kepada keluarga mereka dalam menghadapi cabaran tersebut.



