RUU PERKHIDMATAN PARLIMEN 2025 DAN RUU PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (PINDAAN) 2025

Jemaah Menteri telah memutuskan agar Rang Undang-Undang (RUU)
Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025
akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Parlimen kali ini.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha
mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama
negara, iaitu Parlimen. RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen
yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan
Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi
membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat
menganggotai Majlis Parlimen tersebut.
Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said akan
membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Februari 2025. Jemaah Menteri turut bersetuju dan
mencadangkan agar Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat
bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac 2025.
Langkah ini adalah bukti iltizam Kerajaan MADANI terhadap usaha melaksanakan
agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara.
FAHMI FADZIL
Jurucakap Kerajaan MADANI
Menteri Komunikasi