“Saya bimbang projek ini hanya ‘gula-gula’ – Baljit Singh

GERAKAN bimbang sekiranya rakyat ‘digula-gulakan’ oleh Kerajaan DAP berkaitan pelaksanaan segera projek Transit Aliran Ringat (LRT) Bayan Lepas Pulau Pinang.
Naib Presiden GERAKAN, Dato Baljit Singh berkata, pilihan raya semakin dekat dan kita bimbang jika ia hanya dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi.
“Saya bimbang projek ini hanya ‘gula-gula’ yang ditaburkan Kerajaan campuran dan negeri.
“Lebih menyedihkan sekiranya terjadi projek gajah putih seperti yang berlaku pada projek terowong dasar laut” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Baljit, lebih baik kerajaan DAP menyelesaikan beberapa isu penting yang kini sedang berlaku di Pulau Pinang seperti percerobohan, pengambilan tanah, masalah feri, banjir, keselamatan penduduk daripada warga asing dan penempatan semula yang melibatkan penduduk setempat.
Tambah Baljit, bagaimana kerajaan negeri boleh mengatakan bahawa projek ini akan bermula pada pertengahan tahun hadapan sedangkan banyak isu utama belum diselesaikan.
“Saya rasa sebaik sahaja projek ini beroperasi pelbagai isu lagi akan timbul kerana ini melibatkan banyak pihak termasuk tanah penduduk, struktur bangunaan dan paling penting masjid-masjid dan rumah ibadat.
“Saya berharap perancangan dan penelitian harus dibuat sebelum melaksanakan projek ini bukan sekadar janji manis sahaja. Malah ia tidak membantu banyak dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.” tegasnya.