Siemens sumbang perabot terpakai kepada sekolah dan NGO
- Siemens menyumbangkan perabot-perabot yang tidak digunakan kepada sekolah-sekolah dan NGO di luar bandar yang memerlukannya
- Sumbangan itu diberikan kepada Computer Empowerment Project (CEP) MACO dengan kerjasama Medical Awareness Camp Outreach (MACO)
- Siemens juga menghulurkan sumbangan kewangan bagi mewujudkan makmal-makmal komputer di sekolah-sekolah untuk persekitaran pembelajaran yang lebih baik
Kuala Lumpur: Siemens dengan kerjasama Medical Awareness Camp Outreach (MACO) telah mendermakan perabot terpakainya yang dirancang untuk dilupuskan kepada sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan. Sumbangan tersebut dilakukan menerusi Computer Empowerment Project (CEP) MACO, yang bermatlamat untuk melengkapkan sekolah-sekolah dan NGO yang memerlukan bekalan peranti-peranti teknologi.
Siemens juga menyumbangkan wang sebanyak RM50,000 kepada inisiatif CEP, bagi membantu MACO mendirikan makmal-makmal komputer di pelbagai sekolah yang mempunyai ramai murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah. Ia sebahagian daripada usaha Siemen bagi membantu murid-murid B40 mengakses pendidikan tinggi.
Pada peringkat permulaan pandemik dahulu, Siemens menyumbangkan komputer-komputer riba terpakai bagai membantu murid-murid B40 mengikuti kelas dalam talian. Sumbangan wang tunai dan perabot terpakai ini satu usaha berterusan bagi membantu murid-murid yang kurang bernasib baik.
Bencana banjir yang berlaku pada awal tahun ini menyerlahkan kekangan peruntukan yang dihadapi banyak sekolah dalam mendapatkan kelengkapan pembelajaran yang diperlukan. Lebih 300 buah sekolah terkesan dengan banjir tersebut, dan mereka tidak mampu untuk menggantikan perabot-perabot penting yang rosak. Situasi ini amat menyukarkan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman seperti di Pulau Carey. Justeru, sumbangan perabot-perabot pejabat Siemens yang tidak digunakan, membantu menyelesaikan masalah ini.
Perabot-perabot yang didermakan terdiri daripada kerusi, meja, dan almari, yang bernilai kira-kira RM25,000. Sebahagian besar daripadanya digunakan bagi mendirikan makmal-makmal komputer, sejajar dengan inisiatif CEP untuk mendaya upayakan murid-murid agar lebih fasih teknologi dan bersedia untuk masa hadapan. Sebahagian perabot juga akan disalurkan kepada NGO yang disokong oleh MACO, seperti The Inclusive Outdoor Classroom (IOC), Jireh Charity Village, dan Children Training Centre.
Siemens, bersama-sama MACO, merayu syarikat-syarikat korporat lain agar menyumbangkan perabot-perabot mereka yang tidak lagi digunakan kerana ia berpotensi besar bagi membantu sekolah-sekolah dan NGO yang kekurangan peralatan-peralatan penting ini. Ia bukan sahaja akan membantu murid-murid belajar dalam persekitaran yang lebih baik, ia juga akan mengurangkan pembaziran dan membantu syarikat-syarikat korporat untuk mengitar semula perabot mereka dan mengurangkan pembuangan sisa di tapak-tapak pelupusan.
Pada masa ini, terdapat pelbagai perabot yang tidak digunakan di pejabat-pejabat memandangkan terdapat banyak syarikat yang masih melaksanakan model bekerja dari rumah secara hibrid. Justeru, perabot-perabot ini boleh dimanfaatkan sekolah-sekolah, terutamanya di kawasan-kawasan terpencil yang berdepan masalah kekurangan peruntukan.
Sehingga kini, MACO telah memanfaatkan sumbangan dana Siemens bagi mendirikan makmal-makmal komputer di sekolah-sekolah berikut:
• SJK (C) Kwang Hwa, Sungai Kecil, Nibong Tebal, Kedah
• SJK (C) Cheroh, Raub, Pahang
• SJK (C) Lanchang, Pahang
• SJK (C) Sungai Buloh, Sungai Siput Utara, Perak
• SJK (T) Ladang Sg Rambai, Bestari Jaya, Selangor
• SJK (T) Pulau Carey Barat
Projek ini akan berterusan sepanjang 2022 sebagai sebahagian daripada usaha untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Siemens.
Kenyataan media ini serta gambar-gambar iringan dan bahan-bahan lain boleh didapati di https://press.siemens.com/my/en/pressrelease/siemens-breathes-new-life-unused-furniture-giving-them-schools
Ikut kami di Facebook dan Twitter www.facebook.com/SiemensSEA dan www.twitter.com/siemenssea