Strategi pelan hala tuju teknologi ekosistem, inovasi dan keupayaan kormesial produk teknologi tempatan- MOSTI

  • August 10, 2022
  • 2 min read
Strategi pelan hala tuju teknologi ekosistem, inovasi dan keupayaan kormesial produk teknologi tempatan- MOSTI

KUALA LUMPUR, 9 OGOS 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini melancarkan lima (5) pelan hala tuju teknologi bagi memastikan usaha-usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan diperhebat bagi menjadikan Malaysia sebuah negara pembangun teknologi. Ia juga merupakan antara usaha mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing seterusnya meningkatkan produktiviti negara.


Lima (5) pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan ialah:


i. Pelan Hala Tuju Elektrik dan Elektronik: Pembangunan Teknologi 2021-
2030 yang bertujuan untuk meningkatkan nilai tambah produk E&E negara
berdasarkan kemajuan sains dan inovasi teknologi tinggi;


ii. Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 yang bertujuan
untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan
aplikasi Blockchain melalui kerjasama serta sinergi strategik;


iii. Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025 yang bertujuan untuk
membangunkan ekosistem inovasi kepintaran buatan bagi pembangunan Artificial Intelligence (AI) yang memanfaatkan kolaborasi quadruple helix berpandukan prinsip AI yang bertanggungjawab;


iv. Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional (Advanced Materials) 2021-2030 yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem inovasi bahan termaju tempatan dengan memberi fokus kepada empat (4) bahan termaju di mana Malaysia mempunyai kelebihan perbandingan; dan.

Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030 yang mengenal pasti strategi
pembangunan teknologi robotik negara bagi menjadikan Malaysia hub robotik
dengan tumpuan dalam sektor berimpak tinggi.


Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan
ini memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan
yang inklusif merangkumi rantaian bekalan dan nilai serta pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) teknologi masing-masing yang dijajarkan dengan keutamaan negara.


“Ini merupakan penyelesaian tuntas bagi membolehkan pihak industri mencipta
pelbagai produk bernilai tinggi dan inovasi yang menepati kehendak pasaran
tempatan dan antarabangsa, seterusnya beralih daripada negara pengguna teknologi
kepada pengeluar dan pembangun teknologi,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.


Tambahnya lagi, “Bagi memastikan ekosistem ini kekal responsif seiring dengan
perubahan global, dasar dan inisiatif yang memudahcara pembangunan dan
pengkomersialan teknologi tempatan, peningkatan kemahiran dan pemerkasaan
bakat perlu diperkukuhkan menerusi pelan hala tuju di peringkat nasional.

Dengan adanya pelan hala tuju yang jelas, ekosistem teknologi dapat diperkasakan
seterusnya menarik pelaburan strategik dan kolaborasi strategik perdagangan
baharu.”


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yakin strategi yang digubal di
bawah pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan hari ini akan membina keupayaan
tempatan yang juga selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
bagi mencapai kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang inklusif,
seimbang dan mampan.


Muat turun Pelan Hala Tuju Teknologi di www.mosti.gov.my/dasar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *