The Mines Meterai Jaya Grocer Sebagai Penyewa Utama Baharu, Kukuhkan Status Destinasi Gaya Hidup

Seri Kembangan, 27 Februari 2026 – The Mines Shopping Mall terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup terkemuka di Lembah Klang apabila secara rasmi menandatangani Jaya Grocer sebagai penyewa utama (anchor tenant) baharu.

Kemasukan rangkaian pasar raya premium terkemuka Malaysia itu menandakan cawangan pertama Jaya Grocer dalam portfolio CapitaLand di Malaysia, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam pelan transformasi The Mines untuk memperkasa kepelbagaian runcit serta menarik lebih ramai pengunjung.

Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di The Mines Cruise, berlatarbelakangkan terusan dalaman berkonsepkan Venice sepanjang 85 meter yang menjadi identiti unik pusat beli-belah tersebut.

Pengarah Urusan Runcit CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, kehadiran Jaya Grocer mencerminkan komitmen The Mines dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang berkualiti dan menyeluruh kepada komuniti setempat.

Selepas majlis MOU wartawan di bawa menaiki Cruise

“Jaya Grocer merupakan jenama yang dipercayai ramai. Kami teruja membawa cawangan pertama mereka di Seri Kembangan ke The Mines. Komitmen mereka terhadap kualiti dan kemudahan selari dengan visi kami untuk menjadikan The Mines sebagai destinasi mesra keluarga yang menawarkan pengalaman bermakna,” katanya.

Tawar Pengalaman Pasar Raya Premium

Bakal beroperasi di ruang seluas kira-kira 29,000 kaki persegi, Jaya Grocer di The Mines akan menawarkan pelbagai barangan runcit berkualiti, hasil segar serta pilihan produk antarabangsa dan tempatan yang dikurasi khas.

Kehadiran pasar raya ini dijangka menjadi destinasi utama bagi keluarga dan penggemar kulinari yang mencari pengalaman membeli-belah premium dalam suasana selesa dan moden.

Menurut pihak pengurusan, pelantikan Jaya Grocer sebagai penyewa utama turut memperkukuh segmen runcit keperluan harian, selain membantu meningkatkan aliran pengunjung secara konsisten ke pusat beli-belah berkenaan.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelan peremajaan 2026 The Mines yang memberi fokus kepada pengukuhan kategori runcit teras, peluasan tawaran gaya hidup serta peningkatan keseluruhan pengalaman pelanggan.

Tarikan Baharu dan Penambahbaikan Menyeluruh

Selain pengumuman tersebut, The Mines turut memperkenalkan beberapa tarikan baharu termasuk Game On Theme Park seluas lebih 70,000 kaki persegi yang menampilkan lebih 30 tarikan, antaranya cabaran Ninja setinggi 16 meter.

Pusat hiburan keluarga berkonsepkan ladang, Kin+Zo Land seluas 25,000 kaki persegi, turut menambah kepelbagaian aktiviti rekreasi sedia ada seperti TGV Cinemas, Fun Factory dan Fun Scape by Cobay.

Segmen gaya hidup pula diperkukuh dengan kehadiran jenama seperti Q Pocket dan Oxygym Fitness, manakala peruncit barangan sukan termasuk Sport Planet dan Gatti Sport meluaskan lagi pilihan kepada pengunjung.

Dalam sektor makanan dan minuman (F&B), antara penyertaan baharu ialah Chagee, Auntea Jenny, Luckin Coffee dan Wallace, melengkapkan jenama popular sedia ada seperti Nando’s, The Chicken Rice Shop, Esquire Kitchen dan DubuYo.

Melangkah ke hadapan, The Mines dijangka melaksanakan inisiatif penambahbaikan aset (AEI) berskala besar pada separuh kedua 2026 yang memfokuskan kepada pemodenan fasiliti, pengoptimuman campuran penyewa serta peningkatan persekitaran membeli-belah.

Dengan strategi penyusunan semula yang agresif dan penambahan jenama-jenama utama, The Mines terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat beli-belah dinamik dan destinasi gaya hidup pilihan komuniti di selatan Kuala Lumpur dan Seri Kembangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *