Bersama dalam Duka: Komitmen Bantuan buat mangsa tragedi kebakaran Ulu Dong

Ulu Dong: Tragedi kebakaran yang meragut nyawa di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong terus mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk pemimpin masyarakat yang tampil menyatakan komitmen membantu waris mangsa yang terkesan.

Menerusi satu panggilan video bersama keluarga mangsa, beliau meluahkan rasa sebak dan tersentuh melihat ketabahan dua anak yang terselamat, Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam, dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Saya amat tersentuh melihat kekuatan dan ketabahan mereka. Dalam usia yang masih muda, mereka diuji dengan kehilangan yang sangat besar,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah secara peribadi kepada keluarga mangsa serta menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan dan pendidikan kedua-dua anak berkenaan terus diberi perhatian sewajarnya.

Menurutnya, bantuan akan terus disalurkan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga tersebut.

“Insya-Allah, kita akan pastikan kebajikan dan pendidikan mereka terbela. Mereka tidak akan dibiarkan menghadapi ujian ini bersendirian,” tambahnya lagi.

Dalam usaha memberi sokongan moral, beliau turut mengajak kedua-dua anak tersebut untuk bersama-sama menyambut Aidilfitri agar mereka tidak berasa keseorangan dalam menghadapi detik sukar ini.

Orang ramai turut diseru untuk bersama-sama mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, manakala keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menempuh ujian berat ini.

Tragedi kebakaran tersebut sebelum ini dilaporkan telah mengorbankan beberapa nyawa dan memusnahkan kediaman keluarga berkenaan, sekali gus mengundang simpati masyarakat setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *