TOURISM MALAYSIA LANCARKAN PERTANDINGAN MALAYSIA PHOTO HUNT 2025, TAWAR HADIAH MENARIK!

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui
Tourism Malaysia hari ini melancarkan Malaysia Photo Hunt 2025, sebuah
pertandingan foto dan video bertemakan pelancongan sebagai inisiatif mempergiat
promosi destinasi Malaysia menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
“Malaysia Photo Hunt 2025 merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi dalam
mempergiatkan usaha promosi pelancongan negara secara kreatif. Ia adalah salah satu
program promosi untuk menggalakkan para pelawat domestik dan antarabangsa
mempromosi keindahan Malaysia melalui foto dan video di saluran media sosial
mereka dengan slogan ‘Malaysia Welcomes the World”, kata YB Khairul Firdaus bin
Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Pertandingan ini akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2025 dan terbuka
kepada semua rakyat Malaysia, pemastautin asing, serta pelawat antarabangsa. Para
peserta perlu merakam keindahan destinasi pelancongan di Malaysia dengan
menggunakan kamera dan telefon pintar.
Pertandingan ini terbuka kepada semua jenama kamera dan telefon pintar. Untuk
menyertai pertandingan ini, setiap peserta perlu menghantar foto atau video bersama
salinan resit sebagai bukti melakukan aktiviti melancong seperti penginapan di premis
berdaftar dan berlesen, pembelian tiket ke tarikan pelancongan atau tempahan tiket
pengangkutan domestik yang bertarikh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2025.