PPHBM Raikan Ulang Tahun ke-19 dengan Agenda Memperkasa Pengusaha dan Kesedaran Pesakit

  • May 20, 2025
  • 3 min read
PPHBM Raikan Ulang Tahun ke-19 dengan Agenda Memperkasa Pengusaha dan Kesedaran Pesakit

Kuala Lumpur, 17 Mei 2025 – Persatuan Pengusaha Hemodialisis Bumiputera Malaysia (PPHBM) hari ini meraikan ulang tahunnya yang ke-19 dengan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-19 serta Majlis Jamuan Ramah Mesra yang menghimpunkan ahli dari seluruh negara.

Majlis yang berlangsung meriah ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli berprestasi tinggi, dibahagikan kepada kategori Platinum, Gold dan Silver, termasuk mereka yang telah menjadi ahli PPHBM lebih dari 10 tahun berkhidmat di dalam industri perkhidmatan hemodialisis.

Presiden PPHBM, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, menyatakan bahawa majlis ini merupakan satu simbol pengiktirafan terhadap komitmen ahli yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam memberikan rawatan kepada pesakit buah pinggang di seluruh negara.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi

“Kami kini mempunyai hampir 100 ahli yang mewakili lebih 150 pusat hemodialisis di seluruh negara, dibahagikan kepada Zon Utara, Timur, Tengah dan Selatan. Ini membuktikan kekuatan jaringan kami dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat,” katanya.

Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat termasuk usaha memperkasakan ahli dalam berkhidmat kepada pesakit hemodialisis. dari peringkat penubuhan hingga sekarang. PPHBM menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti khidmat nasihat, keperluan peralatan perubatan, serta penganjuran program Continuous Medical Education (CME).

Selain itu, PPHBM turut membantu ahli dalam isu semasa yang telah di sarankan kerajaan termasuklah memberi penerangan, memahami dan melaksanakan sistem pengebilan (invoicing) yang selaras dengan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk memberi sokongan dari segi pematuhan perundangan dan peraturan kesihatan.

Presiden turut menekankan peranan anak syarikat milik penuh persatuan, PPHBM Corporation Sdn. Bhd, yang berjaya menjana pendapatan tahunan melalui pembekalan bahan perubatan kepada ahli PPHBM. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan persatuan, malah meringankan beban kos operasi pusat-pusat hemodialisis.

Dalam usaha memperkukuh struktur kewangan dan keusahawanan ahli, PPHBM juga sedang meneliti beberapa langkah yang menberi manfaat kepada ahli termasuklah menubuhkan koperasi bagi membuka peluang pelaburan dan pulangan ekonomi yang sah dan berstruktur kepada ahli. Penubuhan ini masih diperingkat perbincangan dan akan diteliti sepenuhnya oleh kepimpinan AJK PPHBM.

Mengulas isu kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat seperti kencing manis, darah tinggi, batu karang dan kolesterol, Dato’ Dr. Ahmad Yunus turut menyeru agar lebih banyak pusat hemodialisis melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai pencegahan awal dan penjagaan kesihatan.

Mohd Nazaruddin Jamaluddin

Sementara itu, Timbalan Presiden PPHBM, Mohd Nazaruddin Jamaluddin, menegaskan bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak menyedari kewujudan pelbagai saluran bantuan kewangan yang boleh dimanfaatkan sekiranya ahli keluarga menghidap penyakit buah pinggang.

“Pendedahan dan kesedaran terhadap perkara ini amat penting agar pesakit dan keluarga tahu pihak mana yang boleh membantu serta bagaimana untuk mengakses bantuan tersebut,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa rawatan hemodialisis menuntut komitmen kewangan yang tinggi, terutamanya bagi pesakit yang tidak layak menerima subsidi kerajaan. Kos satu sesi rawatan boleh mencecah RM200 hingga RM250, dan dengan keperluan tiga sesi seminggu, kos bulanan boleh mencecah lebih RM3,000 – belum termasuk kos ubat-ubatan, pemantauan pakar, dan pengangkutan ke pusat rawatan.

Tambahnya, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, perbelanjaan negara dalam menangani penyakit NCD kini melebihi RM10 bilion setahun, menandakan keperluan kepada sokongan kewangan dan sosial yang lebih tersusun dan inklusif untuk pesakit buah pinggang.

PPHBM menyeru semua pihak – kerajaan, NGO, sektor korporat dan masyarakat umum – untuk bersama-sama memperhebat usaha advokasi, menyebarkan maklumat bantuan dan memperkasa jaringan sokongan kepada pesakit buah pinggang di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai program, keahlian atau bantuan,

sila layari www.pphbm.org.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *