UNIKL BMI catat sejarah bina bangunan tenaga sifar bersih pertama di Malaysia

  • July 27, 2022
  • 3 min read
UNIKL BMI catat sejarah bina bangunan tenaga sifar bersih pertama di Malaysia

GOMBAK, 27 Julai. – UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI), mencatat sejarah apabila membina bangunan pertama di Malaysia berstatus Bangunan Tenaga Sifar Bersih.
 
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bangunan akademik 3 tingkat Kampus UniKL BMI di Gombak itu akan menghasilkan lebih banyak tenaga elektrik daripada yang digunakan melalui kaedah penjimatan tenaga mapan.


 
“Reka bentuk bangunan tersebut juga membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara selaras dengan usaha kerajaan untuk mengadaptasikan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals, (SDGs) di Malaysia.

UniKL BMI menerima geran sebanyak RM12.5 juta untuk pembangunan modal insan di bawah program RMK11 bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran pelajarnya bagi pengkhususan berkaitan tenaga lestari.”
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Tenaga Lestari dan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Bangunan UniKL Sustainable Energy Living Lab di UniKL BMI di sini hari ini.


 
Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar.
 
Jelas Mahdzir, pembinaan bangunan itu bagi kegunaan program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal dalam bidang Tenaga Lestari beserta Sijil Kecekapan Profesional dalam Rekabentuk Sistem Fotovoltaik Solar dan Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar di bawah Suruhanjaya Tenaga.

UniKL kata Mahdzir, dijangka menghasilkan seribu graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam sektor tenaga lestari, tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga menjelang tahun 2030.

Ia sekaligus bagi memenuhi prospek permintaan tenaga kerja dan berkemahiran tinggi bagi industri berkaitan tenaga di Malaysia.
 


“UniKL juga merupakan satu-satunya universiti yang telah ditauliahkan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia untuk menjalankan program Rekabentuk Sistem Fotovoltaik Solar (GCPV Systems Design).”
 
Selain kampus UniKL BMI, sebuah lagi kampus UniKL iaitu UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI) di Bangi, Selangor turut menawarkan program berkaitan mikro hidro.

Program itu mampu menyumbang kepada pelaksanaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), meliputi kaedah alternatif seperti solar hibrid dan mikro hidro.

Ia termasuk program pemasangan lampu jalan dan bekalan elektrik kampung-kampung tradisional di luar kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
 
“UniKL akan memainkan peranan yang amat penting dalam menyediakan tenaga mahir bagi sektor Tenaga dan Kecekapan Tenaga dengan adanya tenaga mahir yang mencukupi,” kata Mahdzir.
 
Sementara itu, Forum Tenaga Lestari yang julung kalinya dianjurkan oleh UniKL BMI dengan kerjasama Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia.

Forum turut menampilkan ahli-ahli panel tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada pakar dalam bidang tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga.
 
Antaranya Pengarah Kanan, Smart Glass Division AGC Asia Pacific Pte Ltd, Singapura, Masayuki Hayashi,
Pengarah, Pembangunan Teknikal & Fasilitasi, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia, Ts. Steve Anthony Lojuntin dan Pengarah dan Profesor Solar Energy Research Institute (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Ts. Dr. Kamaruzzaman Sopian,

Turut terlibat, Pengarah Urusan, IEN Consultants Sdn Bhd, Gregers Reimann dan Ketua Projek, UniKL Sustainable Energy Living Lab, UniKL BMI, Mohd Akram Dandu
 
Ends.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *