UPU: 115,477 memohon, 20,000 calon layak tak dapat tempat

  • September 29, 2022
  • 2 min read
UPU: 115,477 memohon, 20,000 calon layak tak dapat tempat

PUTRAJAYA: Permohonan menerusi UPUOnline pada tahun ini adalah sebanyak 115,477 calon untuk memasuki UA yang mana seramai 90,745 calon melepasi syarat am.

Bagaimanapun lebih 20,000 permohonan tidak mendapat tempat di universiti awam (UA) tempatan walaupun mereka layak melepasi syarat am susulan kapasiti universiti awam (UA) yang terhad dan persaingan yang sengit.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar berkata hanya 71,615 calon mendapat penempatan di 20 UA daripada jumlah yang melepasi syarat am itu.

“Tempat di UA adalah terhad manakala persaingan untuk mendapatkan tempat adalah terlalu tinggi. Ia sesuatu yang baik kerana menunjukkan bakat yang memohon untuk memasuki UA adalah yang terbaik seterusnya membolehkan graduan yang dihasilkan yang terbaik.

“Bagi program kompetitif dan menerima banyak permohonan peluang untuk mendapat tempat adalah tipis.

“Begitu juga jika merit rendah dan memohon program kompetitif, pemohon juga sukar untuk mendapatkan tempat,” ujar beliau pada sidang media khas mengenai UPUOnline, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara faktor pemohon tidak mendapat tempat kerana terdapat juga pelajar yang tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan universiti pilihan atau kursus dipohon, gagal dalam sesi temuduga bagi kursus tertentu selain kedudukan merit rendah.

Selain itu, ada antara pelajar tidak mengisi 12 pilihan yang disediakan dalam borang Unit Pusat Universiti (UPU) dengan lengkap menyebabkan mereka gagal mendapat tempat di universiti jika tidak terpilih mengikuti kursus utama yang dipohon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *