2000 kotak pemberian Barangan Deepavali inisiatif khas buat penduduk Parlimen Ampang.

Penganjur En.S.Sunder V berkata awalnya merancang untuk menyediakan sebanyak 100 kotak barangan keperluan asas kepada masyarakat setempat. Bagaimanapun, menerusi inisiatif dan usaha YB Syed Ahmad, yang turut dikenali sebagai YB Altimat, jumlah sumbangan dari pihak KESUMA berjaya ditingkatkan kepada 2,000 kotak dalam tempoh yang sangat singkat.

Bertindak sebagai pegawai khas YB ADN Lembah Jaya Ampang hanya menerima makluman mengenai peningkatan jumlah sumbangan itu pada petang sebelumnya, sekali gus memerlukan mereka membuat persiapan bagi mengagihkan 2,000 kotak kepada penerima dalam tempoh kira-kira 24 jam.

S.Sunder V kanan menyerahkan sumbangan kepada penduduk.

Menurutnya, usaha tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk ketua-ketua komuniti, ahli majlis, bekas ahli majlis serta pemimpin masyarakat di sekitar Ampang yang bersama-sama membantu melancarkan proses penyelarasan dan pengagihan sumbangan.

“Pada awalnya, kami hanya merancang untuk menyediakan 100 kotak kerana jumlah itu lebih mudah diuruskan. Namun, apabila jumlahnya meningkat kepada 2,000 kotak dalam tempoh 24 jam, ia menjadi satu cabaran besar kepada pihak kami.

“Pelbagai persiapan perlu dilakukan dalam masa yang singkat, termasuk penyelarasan penerima, penyediaan makanan dan urusan logistik. Walaupun keadaan agak kelam-kabut, kami tetap berusaha memastikan semua yang hadir mendapat sumbangan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Syed Ahmad atau YB Altimat atas inisiatif menyalurkan sebanyak 2,000 kotak barangan keperluan asas bagi membantu masyarakat India di kawasan berkenaan.

Orang ramai mula mendaftar awal untuk penerimaan sumbangan
Sumbangan sempena sambutan Deepavali mendatang

Menurutnya, sumbangan itu merupakan satu usaha besar yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya keluarga yang memerlukan.

Beliau menjelaskan bahawa pengagihan sumbangan melibatkan penduduk di kawasan Parlimen Ampang serta kawasan berhampiran, termasuk Lembah Jaya. Setiap keluarga diperuntukkan sebuah kotak barangan keperluan asas bagi memastikan lebih ramai penerima dapat menikmati manfaat sumbangan berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran yang ramai serta keadaan hujan menyebabkan proses pengagihan sedikit mencabar apabila orang ramai berpusu-pusu mendapatkan sumbangan.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pengalaman menguruskan pengagihan berskala besar itu sebagai satu pengalaman baharu kepada pihak penganjur, memandangkan sebelum ini mereka hanya mengendalikan pengagihan sekitar 100 kotak.

Katanya, walaupun persiapan terpaksa dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, kerjasama semua pihak membolehkan program berkenaan dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk menganjurkan satu lagi program perayaan kebudayaan pada 14 haribulan di kawasan berkenaan dengan penyertaan dianggarkan seramai 2,000 orang.

Program itu bakal mengetengahkan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat India menerusi persembahan kebudayaan serta sajian pelbagai jenis makanan tradisional.

Menurutnya, masyarakat India terdiri daripada pelbagai kelompok etnik termasuk Tamil, Punjabi, Telugu dan Malayali yang mempunyai bahasa, budaya serta tradisi tersendiri.

Bagaimanapun, kepelbagaian tersebut menjadi kekuatan untuk menyatukan masyarakat melalui sambutan perayaan yang meraikan perpaduan dan keharmonian.

Beliau turut menegaskan bahawa program berkenaan bukan sahaja melibatkan masyarakat India beragama Hindu, malah turut membuka ruang penyertaan kepada masyarakat India beragama Islam dan Kristian untuk bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

Mengakhiri kenyataannya, beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada YB Syed Ahmad serta semua pemimpin masyarakat, ahli majlis dan ketua komuniti yang memberikan kerjasama sehingga sasaran penyediaan 2,000 kotak barangan keperluan asas berjaya direalisasikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *