World Marketing Summit Malaysia 2026 (WMS Malaysia 2026) yang berlangsung pada 4 dan 5 November 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) berjaya menghimpunkan pemimpin pemasaran antarabangsa, tokoh perniagaan, usahawan dan pakar industri bagi membincangkan masa depan pemasaran dalam era teknologi baharu.
Persidangan bertemakan “New Age Technology” dengan misi “Creating a Better World Through Marketing” yang menampilkan Kotler Impact Inc. sebagai tuan rumah, ANNEMS Leadership Solution sebagai penganjur utama serta KNKV Group sebagai penganjur bersama ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI), strategi penjenamaan dan inovasi bagi memperkukuh daya saing serta pertumbuhan perniagaan.
Majlis perasmian WMS Malaysia 2026 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama Dato’ Sri Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi.
Penganjur WMS Malaysia 2026, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron, berkata pertumbuhan perniagaan yang mampan memerlukan strategi pemasaran yang disokong oleh kepimpinan, sistem dan struktur organisasi yang kukuh.
“Dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar, pemasaran yang berkesan perlu disokong oleh kepimpinan yang kukuh, organisasi yang bersedia, sistem yang berfungsi dan keupayaan untuk melaksanakan strategi secara konsisten. Pertumbuhan yang tidak disokong oleh kesiapsiagaan organisasi boleh menjadi cabaran kepada kelangsungan perniagaan itu sendiri.
“Saya juga tidak menyangka, walaupun berbayar lebih 2500 orang termasuk usahawan, turut menyertai persidangan yang buat kali pertamanya diadakan secara besar-besaran ini.
“Persidangan kali ini membawa perspektif berbeza mengenai pemasaran global, pembangunan organisasi dan penggunaan teknologi untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran. Ini perlu agar usahawan tidak ketinggalan dengan teknologi terkini dan dapat bertukar-tukar pandangan dan mengembangkan lagi perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Faridah Hanim Haron yang juga Presiden dan Pengasas Kotler Impact Asia dan ANNEMS Group of Companies menambah, WMS Malaysia 2026 turut membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menyertai persidangan tersebut.
“Dalam persidangan ini mereka dapat memahami cara menerapkan AI secara lebih strategik, memperkemas strategi pemasaran, membina jenama yang lebih kukuh dan mendalami keperluan pelanggan. Pendedahan kepada pendekatan serta pandangan pakar tempatan dan antarabangsa ini dapat membantu PMKS mengenal pasti peluang pertumbuhan dan meningkatkan daya saing perniagaandalam pasaran yang semakin dinamik.”

Antara speakers yang turut mengambil bahagian dalam persidangan tersebut termasuk Sadia Kibria, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Kotler Impact Inc., Datuk Dr. Hjh. Faridah Hanim Haron, Presiden Kotler Impact Asia, Prof. (Adjung) Hj. Adam Richman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, Pengerusi KNKV Group
Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir,Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Datuk Ashwad Ismail, Director General, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Wira Dr. Calvin Khiu, Founder, Outstanding Entrepreneurs Academy (OE Academy), Rizman Nordin, Pengarah Urusan Rizman Ruzaini Couture, James Ng (Boss James), Managing Director, Berjaya Mega Motors Enterprise Sdn Bhd, Syed Abdullah Bin Syed Abdul Rahman (Spacedollah), Director of Spacedollah Sdn. Bhd; Creative director of Larenme PR & Media.
Sementara itu, Prof. (Adjung) Hj. Adam Richman berkata teknologi dan kecerdasan buatan perlu dimanfaatkan sebagai alat strategik untuk meningkatkan keberkesanan pemasaran dan daya saing perniagaan.
“Perniagaan Malaysia perlu mula melihat AI dan teknologi sebagai pengganda keupayaan, bukan sekadar alat untuk menghasilkan kandungan atau mengurangkan kos. Dengan strategi yang betul, perniagaan boleh memahami pelanggan dengan lebih mendalam, membuat keputusan pemasaran yang lebih tepat dan memaksimumkan impak daripada setiap pelaburan.
“Persoalannya bukan lagi sama ada kita perlu menggunakan teknologi, tetapi sejauh mana kita bersedia menggunakannya untuk mencipta kelebihan daya saing,” katanya.
Persidangan selama dua hari ini juga turut nenampilkan barisan Global Speakers antaranya Elia Guardiola, International Storytelling & Corporate Communication Expert, Yoshimitsu Kaji, Chairman & Chief Sustainability Development Officer, Cinnamon AI; Senior Principal, Hitachi’s Lumada Innovation Hub, Dr. Martha Rogers, Founding Partner, Peppers & Rogers Group; Adjunct Professor, Duke University Fuqua School of Business, Prof. Christian Farioli, AI Professor & Chief Executive Officer, ESD Dubai dan Raul Amigo, Founder & Chief Executive Officer, UMUNTU CX Design
Diasaskan pada tahun 2012 berteraskan visi Profesor Philip Kotler, World Marketing Summit menghubungkan pemimpin, idea dan komuniti antarabangsa melalui misi untuk mencipta dunia yang lebih baik melalui pemasaran.
Penganjuran di Malaysia meneruskan usaha dalam menyediakan platform perkongsian ilmu, pertukaran idea dan jaringan strategik antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.



