3,300 Asnaf Terima Sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 2026/1447H
Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan merupakan program signature Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Agensi yang dilaksanakan setiap tahun sepanjang bulan
Ramadan dengan pendekatan mesra rakyat serta menekankan penglibatan langsung antara jabatan, agensi dan komuniti dalam mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak.

Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan ini telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. Pelaksanaan Program Nur Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula adalah secara berperingkat dengan melibatkan 11 kawasan Parlimen. Ini sekali gus melengkapkan kejayaan pelaksanaan Program Nur Ramadan di seluruh Wilayah Persekutuan bagi tahun 2026.


Seramai 3,300 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dan akan
menerima sumbangan tunai sebanyak RM200 setiap seorang daripada peruntukan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penerima sumbangan tertinggi berbanding dua lagi Wilayah Persekutuan. Ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan
kebajikan golongan memerlukan di ibu kota terus diberi perhatian.


Selain bantuan tunai kepada para asnaf, Jabatan Wilayah Persekutuan turut menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM5,000.00 kepada Masjid Wilayah Persekutuan, Sekolah Rendah Agama Ibnu Kathir dan Madrasah Manbaul Uloom dalam menyokong Usaha pembangunan komuniti serta aktiviti pendidikan dan keagamaan di kawasan setempat.


Walaupun nilainya sederhana, bantuan ini diharapkan dapat memberikan kelegaan
kepada para penerima dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup serta membolehkan mereka menyambut Syawal dengan lebih bermakna bersama keluarga. Kejayaan pelaksanaan Program Nur Ramadan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini dapat memperkukuhkan lagi nilai kesejahteraan, ihsan dan perpaduan rakyat di Wilayah Persekutuan.

Melalui kerjasama erat antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan dan Agensi, program ini bukan sahaja menzahirkan
keprihatinan kerajaan terhadap golongan memerlukan, malah turut menggalakkan
semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.


Semangat kebersamaan inilah yang menjadi teras kepada pengukuhan perpaduan masyarakat Wilayah Persekutuan. Ianya bermula dengan nilai keinsanan dan keprihatinan yang seterusnya mencerminkan masyarakat yang penuh dengan rasa kesyukuran, kegembiraan dan keharmonian.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *