KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Seramai 10 pengamal media, termasuk veteran industri yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup, menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA sempena persiapan menyambut Aidilfitri.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam Program Kasih Ramadan Kementerian Komunikasi yang berlangsung di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
Menurut Fahmi, inisiatif itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan pengamal media yang telah banyak menyumbang kepada penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 668 pengamal media di seluruh negara.
Inisiatif kebajikan itu dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.



