34 syarikat Pengelola Jemaah Haji berlesen KHUP5 tawar pelbagai pakej, termasuk pada harga bawah RM55,000 – Senator Dr. Zulkifli Hasan

SEPANG, 11 Oktober 2026 – Kerajaan berjaya merekodkan sifar kes penipuan pakej haji, termasuk penipuan badal haji, sepanjang tahun 2026 hasil kerjasama erat pelbagai pihak dalam memperkukuh penguatkuasaan, pemantauan dan kempen kesedaran kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan usaha berterusan bagi melindungi bakal jemaah haji daripada menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, usaha berkenaan termasuk pelaksanaan kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” serta pemantauan terhadap iklan dan tawaran pakej haji atau badal haji yang mencurigakan di pelbagai platform media sosial.

“Namun, kita tidak boleh berasa selesa. Setiap musim haji membawa cabaran dan modus operandi yang mungkin berbeza. Justeru, kewaspadaan masyarakat hendaklah terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 Pengelola Jemaah Haji (KHUP5) bagi musim 1448H/2027M di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang, pada Ahad.

Dr. Zulkifli berkata, kerajaan memandang serius kegiatan penipuan pakej haji dan umrah, khususnya yang melibatkan individu atau pihak tidak berlesen.

Sehubungan itu, Tabung Haji (TH) tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen selain daripada 34 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang mendapat lesen rasmi.

Mana-mana pihak atau individu yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas di bawah Akta Tabung Haji 1995.

Katanya, kerajaan turut memperkukuh kerjasama penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membanteras penipuan pakej haji demi melindungi kebajikan rakyat.

34 syarikat PJH tawar pakej kompetitif

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata, penyertaan 34 syarikat PJH berlesen pada KHUP5 memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat tepat mengenai pilihan pakej haji yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.

Beliau berkata, syarikat berkenaan mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan jemaah, selain menitikberatkan aspek kebajikan, keselesaan serta keselamatan bakal jemaah haji.

Malah, syarikat PJH turut menyahut cabaran menawarkan pakej haji pada harga kompetitif, termasuk pakej di bawah RM55,000.

Menurutnya, penawaran itu membuka peluang kepada lebih ramai bakal jemaah untuk merancang perjalanan ibadah haji mengikut kemampuan kewangan masing-masing dengan lebih tenang dan yakin.

Beliau turut menggalakkan pengunjung memanfaatkan KHUP5 sebagai platform mendapatkan penjelasan secara terus daripada syarikat PJH, membuat perbandingan pakej dan menilai pilihan yang tersedia sebelum membuat keputusan.

Langkah itu penting bagi memastikan bakal jemaah memilih perkhidmatan yang sesuai demi keselesaan dan keselamatan sepanjang menunaikan ibadah haji.

KHUP5 perkukuh kesedaran masyarakat

Dr. Zulkifli berkata, penganjuran KHUP5 bukan sekadar platform mempromosikan pakej haji, malah turut menyediakan pilihan pakej umrah dan pelancongan Muslim kepada pengunjung.

Menurutnya, penganjuran bersama TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) itu membuktikan komitmen syarikat Bumiputera Islam dalam menyediakan pelbagai pilihan perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TH, BUMITRA serta semua syarikat PJH yang terus menyokong penganjuran karnival berkenaan sejak edisi pertama pada 1444H/2023M.

Katanya, peningkatan jumlah pengunjung dari tahun ke tahun amat membanggakan kerana menunjukkan kesungguhan masyarakat mendapatkan maklumat mengenai pakej haji yang sah, tepat dan terkini.

Beliau percaya karnival itu turut memainkan peranan sebagai medan pendidikan dan meningkatkan kesedaran bakal tetamu Allah mengenai kepentingan melalui proses pemilihan yang betul sebelum membuat keputusan berkaitan urusan ibadah haji.

PJH diminta utamakan kebajikan jemaah

Dalam perkembangan sama, Dr. Zulkifli berharap semua syarikat PJH terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan mengutamakan integriti, profesionalisme dan kebajikan jemaah dalam setiap aspek pengurusan.

Katanya, persaingan sihat dalam kalangan pengendali perlu diterjemahkan melalui peningkatan mutu perkhidmatan, inovasi dan nilai tambah yang memberi manfaat kepada jemaah haji Malaysia.

Beliau turut mengingatkan individu yang memperoleh Visa Haji Furada atau Mujamalah supaya mengutamakan pengurusan perjalanan dan kebajikan melalui syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH.

Langkah itu penting bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara, urusan perjalanan dipantau dan ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta tenang.

Tambahnya, kerajaan akan terus menyokong usaha memperkukuh industri haji dan umrah negara supaya kekal relevan, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dasar serta keperluan semasa yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Kerjasama erat antara kerajaan, TH dan syarikat PJH juga amat penting bagi memastikan kepentingan serta kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.

Beliau berharap penganjuran KHUP dapat terus memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai pengurusan haji negara, di samping memelihara sejarah dan legasi perkhidmatan haji Malaysia yang sekian lama menjadi antara contoh terbaik di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *