PUTRAJAYA – Seramai 5,100 golongan asnaf dan fakir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima sumbangan wang tunai menerusi Program Nur Ramadan 2026/1447H yang dianjurkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Setiap penerima menerima RM200, membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan zakat sebanyak RM1.02 juta di bawah kelolaan MAIWP. Daripada jumlah itu, 300 penerima dikenal pasti di Putrajaya.
Selain itu, JWP turut menyalurkan sumbangan khas RM5,000 kepada tiga surau di Putrajaya iaitu Surau Al Hidayah Putra Harmoni, Surau Al Ehsan Presint 11 dan Surau Al-Islah Fasa 7 sebagai sokongan kepada institusi yang terlibat menjayakan program Ramadan serta pembangunan pendidikan Islam.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan memerlukan di samping memupuk amalan bersedekah dan semangat kebersamaan masyarakat.
Dalam masa sama, Festival Ramadan Putrajaya 2026 bertemakan “Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran” berlangsung dari 18 Februari hingga 19 Mac di Presint 3, Putrajaya. Festival itu menjadi antara acara utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan ulang tahun ke-30 Perbadanan Putrajaya.
Penganjuran festival berkenaan bukan sahaja merancakkan ekonomi peniaga kecil dan aktiviti komuniti, malah menyokong agenda Bandar Hijau Rendah Karbon menerusi inisiatif Go Green seperti transaksi tanpa tunai, larangan plastik sekali guna dan kempen mengurangkan pembaziran makanan.



