KUALA LUMPUR – Stadium Titiwangsa hari ini diumumkan secara rasmi sebagai “Home of Sepak Takraw”, sekali gus mengangkat peranan venue milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu sebagai pusat utama pembangunan sukan berkenaan di negara ini.

Pengiktirafan tersebut dibuat susulan kejayaan cemerlang pasukan sepak takraw negara sepanjang tahun 2025, termasuk menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia di Stadium Titiwangsa pada Mei lalu serta meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2025 di Bangkok, Disember lepas.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL bersetuju menjadikan stadium tertutup itu sebagai hab rasmi sepak takraw, dengan harapan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia dapat memanfaatkan kemudahan berkenaan secara menyeluruh bagi tujuan latihan, pembangunan atlet dan penganjuran kejohanan.
Menurut kenyataan, pengiktirafan ini membuktikan sepak takraw bukan sekadar sukan tradisi, sebaliknya sukan kompetitif bertaraf antarabangsa yang memerlukan sokongan berterusan serta kemudahan berkualiti.
Stadium Titiwangsa juga akan menjadi pusat latihan pasukan sepak takraw Wilayah Persekutuan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Bagi memperkukuh penjenamaan dan kemudahan, DBKL memperuntukkan kira-kira RM80,000 untuk kerja penambahbaikan termasuk lukisan mural identiti “Home of Sepak Takraw”, menaik taraf papan skor kepada LED, penyediaan ruang VIP dan VIP box, serta penambahbaikan surau, bilik media dan kemudahan lain.
Pada majlis sama, turut diadakan perlawanan persahabatan melibatkan pasukan SUKMA dan Sukan SEA sebagai simbolik penghargaan terhadap pencapaian atlet negara. Seramai lapan atlet DBKL yang meraih satu pingat emas, dua perak dan lima gangsa di Sukan SEA 2025 turut menerima sagu hati kemenangan.
Selain itu, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia akan mempergiatkan penganjuran Klinik Sepak Takraw melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT bagi memperluas pembangunan bakat baharu sukan tersebut.



