6000 warga PDRM terima vaksin melalui program vaksinasi bergerak Mymedik@Wilayah
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mencapai sasaran imuniti kelompok seawal Ogos ini, malah dijangkakan lebih awal berbanding negeri lain, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) meneruskan pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 termasuk fronliners di Wilayah Persekutuan.
Fasa kedua ini turut melibatkan pusat penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Desa Aman dan Desa Tasik, WP Kuala Lumpur. Dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi dengan menggunakan 4 trak vaksin bergerak di Desa Aman dan 1 trak di Desa Tasik.
Setiap lokasi mempunyai petugas-petugas kesihatan merangkumi 3 doktor, 5 jururawat, 2 paramedik, 4 petugas bukan perubatan (pentadbiran) dan lebih 50 orang sukarelawan di setiap lokasi. Inisiatif ini dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan anggota PDRM dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada mereka yang bertugas sebagai pasukan barisan hadapan dan sangat berisiko dijangkiti serta kepada ahli keluarga mereka.
KWP mensasarkan 40 trak bagi Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah dengan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari untuk dilaksanakan di WP Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan. Sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.
Kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) serta jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
Selain itu, pelaksanaan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada pelbagai pihak termasuk para sukarelawan (PriVo) serta Persatuan-Persatuan Penduduk/Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program ini.