Pencemaran Anak Sungai Felda Sri Jaya: Tindakan Segera Diambil, Bekalan Air Selamat

TANGKAK: Kerajaan memandang serius aduan pencemaran anak sungai di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang dan telah mengarahkan tindakan segera bagi mengekang serta memulihkan keadaan.
Siasatan awal mendapati pencemaran berpunca daripada kebocoran kolam kumbahan sebuah ladang ternakan khinzir di kawasan berkenaan. Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) Tangkak telah mengarahkan pembaikan segera dan kebocoran tersebut berjaya dihentikan.

Pelepasan Effective Microorganism (EM) turut dilaksanakan bagi mempercepatkan penguraian sisa organik dan mengurangkan bau.
Kerja-kerja pembersihan di kawasan kebun dan perparitan sepanjang Sungai Penyalai pula dijalankan secara berperingkat bermula 23 hingga 31 Januari 2026 dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dalam masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan pemantauan berterusan melalui stesen automatik di Sungai Muar, manakala Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) melakukan ujian sampel air mentah bagi memastikan pematuhan piawaian kebangsaan.

Ranhill SAJ turut mengesahkan bekalan air terawat di Loji Air Bukit Serampang adalah selamat digunakan hasil ujian kualiti air yang dijalankan setiap dua hingga empat jam.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan dan sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan sewajarnya. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan merujuk hanya kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *