PJRM Mega Aidilfitri Pahang Tarik Lebih 38,500 Pengunjung, Jualan Cecah RM4 Juta

KUANTAN, 17 Mac – Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri terus mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya membantu rakyat menangani kos sara hidup menjelang perayaan.


Sehingga 16 Mac 2026, sebanyak 133 daripada 178 siri program telah dilaksanakan di seluruh Pahang, dengan baki 45 lagi dijadualkan berlangsung hingga 30 Mac. Program ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.


Kemuncak program berlangsung di Kuantan pada 17 dan 18 Mac, melibatkan dua lokasi utama iaitu Perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah dan kawasan berhampiran Pasar Nelayan Pantai Sepat.
Secara keseluruhan, PJRM Aidilfitri di Pahang telah menarik lebih 38,500 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM4 juta, membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam meringankan beban rakyat.


Selain barangan asas, edisi Aidilfitri turut menawarkan bahan pembuatan kuih raya seperti gula kastor, esen vanila, serbuk koko serta bahan hiasan dan masakan lain pada harga subsidi.


Program ini turut memberi manfaat kepada usahawan mikro dan suri rumah, di samping membantu golongan asnaf melalui sumbangan zakat berjumlah RM30,000 kepada 100 penerima.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *