PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) — Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan membentangkan perincian cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta supaya cadangan berkenaan diperhalusi dengan lebih terperinci sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut.
“Jemaah Menteri hari ini telah menerima laporan awal daripada KSN yang turut disediakan bersama KPPA berhubung pelaksanaan BDR bagi sektor awam,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan BDR yang dicadangkan tidak akan melibatkan sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan barisan hadapan.
Fahmi berkata, keutamaan ketika ini adalah kepada sektor bukan kritikal, selaras dengan arahan Perdana Menteri agar cadangan itu diteliti secara menyeluruh sebelum dibentangkan dalam MTEN.
Mengulas sama ada inisiatif tersebut akan diperluaskan kepada sektor swasta, beliau berkata perbincangan ketika ini lebih tertumpu kepada penjawat awam, memandangkan jumlah kakitangan yang besar serta keperluan penyelarasan dasar di peringkat kerajaan.
“Namun, kerajaan tidak menghalang sektor swasta daripada melaksanakan BDR sekiranya terdapat keperluan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Perdana Menteri turut mengarahkan setiap kementerian supaya mengadakan sesi libat urus bersama agensi di bawah seliaan masing-masing serta pemain industri bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai cabaran semasa yang dihadapi.
Sebagai contoh, katanya, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengadakan perbincangan bersama pemain industri penerbangan susulan perkembangan semasa di Asia Barat yang memberi kesan kepada sektor berkenaan.
Beliau menambah, hasil daripada sesi libat urus tersebut akan dikumpulkan dan diteliti bagi membantu kerajaan merangka langkah susulan termasuk bentuk bantuan atau inisiatif yang bersesuaian kepada sektor-sektor terlibat, sekiranya perlu. – UTV



