Kebakaran Longgokan Besi Buruk di Auto City, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Sebuah kejadian kebakaran melibatkan longgokan besi buruk dan barang lama berlaku di Thai In Mookata, Lot 4426 OKR Auto City, Batu 4 ½ Jalan Klang Lama, Seputeh, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 5:51 petang sebelum empat balai bomba berhampiran digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut Ketua Operasi, PBK I Aminuddin Bin Ahmad Basar, pasukan pertama tiba di tempat kejadian pada jam 5:56 petang dan mendapati kebakaran membabitkan timbunan besi buruk serta bahan kitar semula seluas kira-kira 100 x 100 kaki persegi.

“Operasi pemadaman sedang dijalankan. Kebakaran ini tidak melibatkan mana-mana struktur bangunan berhampiran dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan media.

Seramai 24 anggota bersama jentera FRT, EMRS, RIM dan sebuah tangki air dikerahkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, Pantai, Sri Petaling dan Jalan Hang Tuah.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *