Kepimpinan Berwibawa PMX Perkukuh Kedudukan Malaysia

Wanita KEADILAN berpandangan bahawa tindakan pantas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang berhubung secara langsung dengan Presiden Iran sehingga membawa kepada pelepasan kapal minyak PETRONAS dan syarikat Malaysia mencerminkan kepimpinan berwibawa dalam mengurus cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

Pendekatan diplomasi yang strategik dan berhemah ini membuktikan
keupayaan Malaysia untuk mempertahankan kepentingan nasional sekali gus mengekalkan keyakinan terhadap kedudukan negara di peringkat antarabangsa.

Keupayaan untuk bertindak dengan yakin dalam situasi sedemikian tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya disokong oleh asas ekonomi yang semakin kukuh hasil reformasi fiskal oleh Kerajaan MADANI sejak langkah penyasaran subsidi diesel mulai Jun 2024.

Dalam landskap global yang semakin tidak menentu, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berupaya membuat keputusan yang sukar tetapi perlu, bagi memperkukuh daya tahan fiskal negara seterusnya meningkatkan keupayaan kerajaan untuk berdepan ketidaktentuan global termasuk krisis melibatkan Iran agar sumber negara dapat diagihkan secara saksama kepada rakyat yang memerlukan.

Ini bukan masa berpolitik, ini masa mempertahankan negara.

Wanita KEADILAN akan terus menyokong usaha memperkukuh kestabilan, kedaulatan dan daya saing Malaysia agar kekal dihormati di peringkat antarabangsa.

Datuk Ginie Lim
Ketua Penerangan
Wanita KEADILAN Pusat
28 Mac 2026



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *