PULAU PINANG, 10 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan hampir 2,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) komuniti India di seluruh negara telah menerima manfaat pembiayaan berjumlah RM70 juta menerusi Pakej Modal Usahawan & Rangsangan Ekonomi India 2026 (MUDRA).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan yang lebih inklusif melibatkan semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Jualan dan Sesi Libat Urus Usahawan Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce & Industry (MAICCI) bersama agensi KUSKOP sempena sambutan Hari Ibu di Pulau Pinang hari ini.
Menurut beliau, program anjuran MAICCI itu menghimpunkan kira-kira 30 usahawan tempatan serta 10 reruai agensi di bawah KUSKOP yang menyediakan khidmat nasihat, peluang pembiayaan dan jaringan perniagaan kepada usahawan setempat.
“Kerajaan mahu memastikan usahawan kecil tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara. Melalui agensi seperti TEKUN Nasional, akses kepada pembiayaan dipermudah supaya lebih ramai rakyat mampu memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan cek cura kepada tiga usahawan yang menerima pembiayaan mikro menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional.Antara penerima pembiayaan ialah:
Komalatha A/P G. Raman dari Jelutong bagi perniagaan Megas Enterprise menerima pembiayaan RM100,000;Vengadeswary A/P Subramanian dari Nibong Tebal bagi perniagaan Vnz Classy Beauty menerima RM20,000; danAmutha A/P Nadaraja dari Nibong Tebal bagi perniagaan Nst Amutha Enterprise menerima RM18,000.Tambah beliau, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan membuka peluang pekerjaan baharu, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta negara secara keseluruhan.
TEKUN Nasional yang merupakan agensi di bawah KUSKOP terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan MADANI dalam menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan mikro, termasuk membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi semasa dan krisis bekalan global.
KUSKOP menegaskan komitmen kementerian untuk terus menyokong pertumbuhan usahawan mikro dan kecil serta memperkukuh ekosistem keusahawanan yang mampan dan inklusif di Malaysia.



