Latihan Pestapora Malaysia 2026 Kembali Lebih Meriah Ogos Ini

KUALA LUMPUR – Festival muzik rentas negara, Latihan Pestapora Malaysia 2026 bakal kembali dengan pengalaman lebih besar, lebih imersif dan penuh tenaga pada 15 Ogos ini di Stadium Hoki Nasional.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, edisi kedua festival itu menjanjikan gabungan muzik terbaik Malaysia dan Indonesia menerusi barisan artis popular yang bakal menggegarkan pentas sepanjang 12 jam festival berlangsung.


Selepas kejayaan edisi sulung tahun lalu, Latihan Pestapora Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara festival muzik serantau paling dinanti ramai. Edisi pertama sebelum ini berjaya menghimpunkan lebih 25,000 pengunjung termasuk 10,000 pelawat antarabangsa selain menampilkan artis terkenal seperti Bunkface, Bittersweet, Pamungkas, Kunto Aji, Nadin Amizah dan Sheila On 7.


Bagi tahun 2026, penganjur tampil dengan pengalaman festival yang dipertingkatkan termasuk ruang makanan dan gaya hidup yang lebih luas melibatkan lebih 50 vendor, pelbagai aktiviti interaktif serta kurasi lebih 15 artis dari Malaysia dan Indonesia.
Setiap pengunjung juga akan menerima satu botol air mineral percuma sepanjang festival berlangsung.


Jualan tiket “Blind Sale” bagi kategori General Admission (Free Standing) mula dibuka dengan harga RM129 tidak termasuk caj pemprosesan dan caj tambahan lain.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini menerusi media sosial rasmi @latihanpestapora.my atau laman web www.latihanpestaporamalaysia.com⁠�.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *