KPDN PERKUKUH EKOSISTEM PERDAGANGAN NEGARAMELALUI STRATEGI MAMPAN DAN DAYA TAHAN GLOBAL

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
akan terus komited memastikan ekosistem perdagangan negara kekal
mampan, berdaya tahan dan kompetitif walaupun dunia hari ini berdepan
pelbagai ketidaktentuan global yang semakin kompleks.

KPDN melihat cabaran seperti krisis bekalan global, ketegangan
geopolitik serta perubahan iklim bukan lagi isu luar yang jauh daripada
negara ini. Sebaliknya, cabaran tersebut memberi kesan langsung
kepada kos operasi, margin keuntungan dan kelangsungan perniagaan di
Malaysia.


Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, KPDN percaya
syarikat tidak boleh hanya bertahan dengan pendekatan biasa.
Perniagaan perlu lebih strategik dalam membina jenama, memperkukuh
kedudukan pasaran dan meningkatkan keyakinan pelanggan. Visibility,
credibility dan strategic positioning kini menjadi faktor penting yang
menentukan kejayaan sesebuah perniagaan.


Kementerian juga percaya bahawa di sebalik setiap cabaran, sentiasa
ada ruang peluang baharu. Perniagaan yang mampu beradaptasi dan
berinovasi ketika berdepan tekanan global akan muncul lebih kukuh dan
lebih berdaya saing. Bagi membantu komuniti perniagaan menghadapi
cabaran ini, KPDN memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu
memudah cara urusan perniagaan, memastikan kestabilan ekosistem
dan rantaian bekalan serta mengekalkan keseimbangan antara kos sara
hidup rakyat dan kelestarian perniagaan.

KPDN akan terus memperkukuh sistem kawal selia dan mengurangkan
kerenah birokrasi supaya iklim perdagangan domestik kekal kondusif dan
mesra pelabur. Pada masa sama, KPDN sentiasa memantau integriti
rantaian bekalan domestik bagi mengurangkan risiko gangguan
perniagaan serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pemain industri.


Pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat ialah dua perkara yang
saling berkait dan tidak boleh dipisahkan. KPDN percaya bahawa
perniagaan yang benar-benar mampan bukan sahaja mampu
berkembang dan menjana keuntungan, tetapi turut menawarkan nilai
yang adil kepada pengguna serta memberi manfaat menyeluruh kepada
masyarakat dan negara.


Justeru, sektor perdagangan pengedaran negara yang meliputi
perdagangan borong, runcit dan kenderaan bermotor terus menunjukkan
perkembangan positif dan menjadi antara penyumbang utama ekonomi
negara. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai
jualan sektor ini mencecah RM169.0 bilion pada Mac 2026, iaitu
peningkatan sebanyak 9.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, data daripada Unit Perangkaan dan Analisis Ekonomi (UPE),
Bahagian Dasar, Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BDPSA),
KPDN menunjukkan Nilai Jualan Perdagangan Borong dan Runcit
meningkat kepada 7.5 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 4.6
peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Prestasi ini membuktikan
bahawa aktiviti perdagangan domestik negara terus berkembang dengan
positif.


Dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, KPDN turut
memperkukuh pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI dan
pelbagai inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang menawarkan barangan
keperluan harian pada harga lebih rendah kepada rakyat. Pada masa
sama, inisiatif ini turut membantu meningkatkan aliran pelanggan dan
jualan kepada para peniaga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *