BANGI – Malaysia berhasrat untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak paling berprestij di pentas antarabangsa, Piala Dunia, selain menyasarkan skuad Harimau Malaya layak beraksi sebagai wakil Asia Tenggara pada kejohanan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu mencerminkan cita-cita besar negara dalam memartabatkan sukan bola sepak di peringkat antarabangsa seiring usaha memperkukuh pembangunan sukan berkenaan.


“Insya-Allah, satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia. Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi satu daripada pasukan untuk mewakili Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Final Piala Dunia 2026 bersama Timbalan Perdana Menteri yang berlangsung di Bangi Square 2, di sini, awal pagi Isnin.
Lebih 6,000 peminat bola sepak membanjiri medan selera itu bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 menerusi tayangan skrin gergasi, sekali gus mewujudkan suasana penuh meriah apabila penyokong berkumpul menyaksikan aksi kemuncak antara Argentina dan Sepanyol.

Program yang bermula seawal jam 9 malam Ahad itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan buskers dan artis jemputan, sesi trivia bola sepak serta program Borak Bola yang dikendalikan pengacara Hafizal Hamad.
Sesi tersebut dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan serta bekas pemain kebangsaan Mohd Farizal Marlias dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai perkembangan bola sepak tanah air.
Turut memeriahkan program ialah beberapa personaliti dan pempengaruh terkenal termasuk Babah Naden, Ayam Kahau dan Angah Raja Lawak, selain pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan kepada pengunjung dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal.
Pengunjung juga menikmati minuman percuma yang disediakan oleh syarikat kopi tempatan, Richiamo Coffee, sepanjang program berlangsung.
Dalam perkembangan berkaitan, ranking skuad Harimau Malaya turut menunjukkan peningkatan apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia berbanding tangga ke-138 sebelum ini berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Peningkatan ranking itu dilihat sebagai petanda positif terhadap perkembangan prestasi skuad kebangsaan, sekali gus menyuntik keyakinan bahawa impian untuk melihat Malaysia bersaing di pentas Piala Dunia mampu direalisasikan pada masa hadapan.
Program berkenaan diakhiri dengan Semarak Subuh apabila Ahmad Zahid bersama orang ramai menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Al-Hamidiah, Kajang sebagai penutup acara yang menghimpunkan ribuan peminat bola sepak dari pelbagai lapisan masyarakat.



