Emas Preloved Tanpa Upah Jadi Rebutan, Sri Semantan Buka Cawangan Ke-20 di Kota Masai,Pasir Gudang Johir

PASIR GUDANG – Peluang memiliki emas pada harga lebih rendah tanpa caj upah, ditambah nilai tukar beli (trade-in) sehingga 100 peratus, terus menjadi tarikan utama Kedai Emas Sri Semantan (KESS) sehingga mendorong syarikat itu melebarkan empayar perniagaannya dengan pembukaan cawangan ke-20 di Pasir Gudang,Johor

Cawangan baharu yang dirasmikan Pengerusi dan Pengasas KESS, Mohamad Hafizal Mahmood itu turut menjadi cawangan kedua syarikat di Johor selepas Batu Pahat, selain berfungsi sebagai Wisma Sri Semantan bagi wilayah Selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman berkata, konsep emas preloved tanpa caj upah yang diperkenalkan syarikat semakin mendapat sambutan kerana membolehkan pelanggan memiliki emas berkualiti pada harga lebih kompetitif.
Menurutnya, selain menikmati harga lebih berpatutan, pelanggan turut memperoleh nilai tukar beli sehingga 100 peratus, sekali gus menjadikan pembelian emas sebagai satu pelaburan yang lebih menguntungkan.

“Keunikan kami ialah memberi fokus kepada urus niaga emas preloved. Kami menawarkan nilai tukar beli sehingga 100 peratus, sekali gus memberi lebih manfaat kepada pelanggan setia.

“Sebab itu perkembangan Kedai Emas Sri Semantan berlaku begitu pantas sehingga berjaya membuka 20 cawangan di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian.

Beliau berkata, permintaan terhadap emas kekal kukuh meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan konflik di beberapa negara.

Katanya, prestasi jualan di semua cawangan berada pada tahap stabil, malah beberapa cawangan berjaya melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan syarikat.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat berkata, pemilihan Pasir Gudang sebagai lokasi cawangan baharu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik, sekali gus memudahkan pelanggan dari Singapura mendapatkan perkhidmatan syarikat.
Menurutnya, sebelum ini pelanggan dari republik berkenaan hanya mendapatkan perkhidmatan di cawangan Shah Alam dan Kajang.

“Dengan pembukaan cawangan di Pasir Gudang ini, urusan pelanggan kami dari Singapura menjadi lebih mudah. Lokasinya lebih dekat dan strategik, sekali gus dijangka mampu menarik lebih ramai pelanggan dari negara jiran itu,” katanya.
Sempena pembukaan cawangan itu, KESS menawarkan diskaun RM20 bagi setiap gram pembelian emas selama dua hari, selain terus mengetengahkan koleksi emas preloved tanpa caj upah, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan memiliki emas pada harga lebih berbaloi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *