ANGKASA ketengahkan bakat deklamasi sajak melalui Gerakan Koperasi Sekolah

  • July 28, 2022
  • 2 min read
ANGKASA ketengahkan bakat  deklamasi sajak melalui Gerakan Koperasi Sekolah

PETALING JAYA, 28 JULAI 2022 – Gerakan Koperasi Sekolah mengadakan Pertandingan Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Bin Haji Alamin.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, program ini menggalakan pelajar-pelajar untuk menonjolkan bakat mereka selain memperkasakan bahasa kebangsaan dan budaya seni sastera Malaysia.

“Program ini sebagai satu platform untuk mendidik masyarakat dan pelajar agar menghayati serta memartabatkan seni sastera melalui penghayatan deklamasi sajak,” katanya.

Pemenang Johan Mendeklamasi Sajak, Muhd Adam Syakri bin Jalaluddin, 17 tahun, dari MRSM Trolak berkata, anak-anak muda kini perlu terapkan jiwa semangat jiwa bangsa Malaysia dalam diri walaupun tidak begitu minat mengenai sastera dan sajak.

“Walau kurang minat kepada sastera atau sajak, perlu terapkan semangat berbahasa kebangsaan kita, terapkan dalam diri kita,” katanya.

Cikgu Azarina binti Mustafa, MRSM Felda Trolak, Sungkai Perak merupakan cikgu pengiring kepada Adam Syakri berkata, pihak kami telah bertungkus-lumus serta membantu Adam Syakri memahami makna sajak tersebut.

Ibu Pemenang, Atnawati Abu Hanifah, juga sebagai Guru Besar SK Sungai Besi Kuala Lumpur berkata sebagai ‘ibu’, saya lah orang pertama yang bangga sehingga mengalir air mata.

Pertandingan ini disertai oleh 266 buah koperasi sekolah dari seluruh negara. Para peserta disaring oleh Bahagian Sekolah ANGKASA untuk penyertaan ke peringkat separuh akhir yang telah berlangsung pada 21 Julai 2022 secara dalam talian.

Jumlah peserta yang dipilih ke peringkat separuh akhir ialah seramai 30 orang. Penilaian diadili oleh wakil juri dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan ANGKASA.

Sepuluh (10) orang peserta telah terpilih ke peringkat akhir bagi menggondol hadiah utama Johan berjumlah RM3,000, Naib Johan berjumlah RM2,000, Tempat ketiga berjumlah RM1,500, Tempat Keempat berjumlah RM1,000, Tempat Kelima berjumlah RM800 serta lima (5) hadiah saguhati berjumlah RM500 bagi pemenang.- UTVMEDIAMALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *