ANGKASA TAWAR SARINGAN KESIHATAN PERCUMA KEPADA WARGA KERJA

  • July 8, 2023
  • 2 min read
ANGKASA TAWAR SARINGAN KESIHATAN PERCUMA KEPADA WARGA KERJA

Program Saringan Kesihatan Kebangsaan yang dianjurkan oleh ANGKASA telah mendapat sambutan baik daripada warga kerjanya apabila seramai 150 kakitangan telah menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di ibu pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 6 Julai 2023.

Program yang turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling itu menyediakan saringan kesihatan asas iaitu pemeriksaan Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras glukos dan tahap kolestrol sebagai pengesanan dan pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, program saringan kesihatan yang menjadi agenda tahunan ANGKASA itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada warga kerja ANGKASA mengenai kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan yang merupakan antara asas kepada menghasilkan kerja berkualiti.

Selain itu, kakitangan juga diberikan pendedahan mengenai teknik bantuan asas hayat atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) kepada orang dewasa dan kanak-kanak yang diberikan oleh jurulatih Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negeri Selangor, Encik Affende Zaini.

Sempena program itu juga, ANGKASA menganjurkan pertandingan ’Cabaran 10,000 Langkah’ yang terbuka kepada semua kakitangannnya dan Kempen 3S (Susun, Sisih & Sedekah) untuk memberikan peluang kepada mereka dan komuniti setempat bagi mendermakan barangan seperti pakaian, kasut, beg tangan, tali pinggang, cadar dan mainan lembut.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Anggota Lembaga ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *