BANTU KERAJAAN TANGANI MASALAH KEMISKINAN BANDAR MELALUI KOPERASI KARIAH MASJID

  • April 9, 2023
  • 2 min read
BANTU KERAJAAN TANGANI MASALAH KEMISKINAN BANDAR MELALUI KOPERASI KARIAH MASJID

Koperasi kariah masjid (KKM) di seluruh negara disaran supaya memperkasakan lagi peranannya dalam membantu kerajaan membasmi kemiskinan masyarakat khususnya di kawasan bandar.

Berdasarkan perangkaan gerakan koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, jumlah koperasi kariah masjid di seluruh negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 526 buah atau tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan masjid iaitu 6,837 buah.

Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Golongan Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Kuala Lumpur pada 8 April 2023.

Katanya, walaupun bilangan KKM yang berdaftar hanya kecil, namun beliau yakin jumlah tersebut akan terus meningkat pada masa hadapan.

Majlis yang dianjurkan oleh ANGKASA Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Koperasi Masjid Al Mukhliseen Berhad dan jawatankuasa masjid itu turut dihadiri oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Haji Efendee O.P Andu.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyeru supaya masjid yang masih belum menubuhkan koperasi dapat mengambil inisiatif awal dengan membincangkan usaha tersebut di peringkat jawatankuasa masjid.

Tambah beliau, penambahan koperasi kariah masjid serta koperasi komuniti yang lain seperti koperasi pangsapuri mampu membolehkan program pembangunan ekonomi diselaraskan dan dijalankan secara lebih bersasar.

Dalam majlis yang sama, seramai 50 orang anak yatim dan 10 orang golongan asnaf telah menerima sumbangan duit raya sumbangan ANGKASA melalui ANGKASA Wilayah Persekutuan dan Koperasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Setiausaha Koperasi TNB, Haji Mohd. Roszeli Majid, Bendahari Koperasi Masjid Al Mukhliseen Berhad, Haji Ahmad Hazmin Hasan serta barisan jawatankuasa ANGKASA Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *