TERAPKAN SEMANGAT BEKERJASAMA DALAM SEMUA AKTIVITI
Sempena bulan Ramadan 1444H, Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Perak dengan kerjasama Koperasi Huffaz Profesional Behad telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin, Kampung Baru Air Kuning, Kampar, Perak pada 5 April 2023.
Majlis yang dirasmikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah itu turut diihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Perak, Haji Mohd Rosli Haji Basri.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya menyatakan bahawa masyarakat memerlukan lebih pendedahan mengenai gerakan koperasi di samping memberi galakan kepada mereka untuk terlibat dalam koperasi.
Katanya, Islam sentiasa menganjurkan umatnya supaya mengamalkan prinsip kerjasama dalam semua aktiviti dan kegiatan termasuk bidang perekonomian, selaras dengan falsafah nilai prinsip koperasi ‘Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama’.
Beliau juga yakin penubuhan koperasi Maahad Tahfiz yang dianggotai pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan mampu memacu kegiatan ekonomi dalam berkoperasi untuk manfaat anggota keseluruhannya.
Dalam pada itu, ANGKASA Negeri Perak juga turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada 85 orang pelajar dari Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin Cawangan Air Kuning.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Penolong Pengarah SKM Wilayah Manjung Perak, Encik Muhammad Akmal Ibrahim dan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin Cawangan Air Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.