KOTA BHARU, 27 Feb 2026 – Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh pelaksanaan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di bawah Payung RAHMAH MADANI dengan peluasan ke enam lokasi di Kelantan tahun ini.

Enam lokasi terlibat ialah Bazar Ramadan MYDIN Mall Tunjong, Pantai Irama (Bachok), Bandar Machang, Dewan Jubli Perak (Tanah Merah), Tasek Raja (Pasir Mas) dan Dewan Pusat Sivik (Gua Musang).
Memasuki tahun keempat sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023, BRR 2026 dilaksanakan di 116 lokasi seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga. Di semua lokasi BRR, peniaga menawarkan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan juadah berbuka puasa yang mampu beli dan mencukupi.
Sebagai galakan transaksi tanpa tunai, insentif e-wallet RM20 turut ditawarkan kepada pengunjung. Sebanyak 12,000 PIN e-wallet akan diedarkan di seluruh Kelantan sepanjang Ramadan.
KPDN juga memastikan peniaga di MYDIN Mall Tunjong melaksanakan urus niaga secara tanpa tunai menerusi Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI). Selain itu, usaha mengurangkan pembaziran makanan diperkukuh melalui pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB) berteraskan konsep 3S: Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meringankan kos sara hidup serta memperluas penggunaan transaksi digital dalam kalangan rakyat dan peniaga sepanjang Ramadan.



