Pemindahan Penjaja Lorong Haji Hussein ke Kompleks Pasar Raja Bot Ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 27 Feb 2026 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju menangguhkan pemindahan penjaja di Lorong Haji Hussein, Chow Kit ke Kompleks Pasar Raja Bot sehingga kompleks berkenaan siap sepenuhnya.
DBKL dalam satu kenyataan media memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan yang disuarakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berhubung penangguhan pemindahan tersebut.

Menurut kenyataan itu, DBKL bersetuju untuk menangguhkan proses pemindahan bagi memastikan semua aspek berkaitan, termasuk kemudahan dan kesiapsiagaan Kompleks Pasar Raja Bot, berada dalam keadaan terbaik sebelum penjaja dipindahkan.

“DBKL akan terus memastikan sebarang perancangan penambahbaikan di kawasan berkenaan dilaksanakan secara teratur, inklusif dan mengambil kira kelangsungan ekonomi penjaja,” menurut kenyataan tersebut.

Langkah itu juga dilihat sebagai usaha memastikan kebajikan serta kepentingan semua pihak terlibat terus terpelihara, khususnya komuniti penjaja yang bergantung kepada perniagaan harian mereka.

DBKL turut menegaskan komitmennya dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan bandar, kebersihan persekitaran dan kesejahteraan warga kota terus dipelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *