Bukti Cinta Menonjol Vokal Sebenar Wanie Ooi

  • June 24, 2022
  • 2 min read
Bukti Cinta Menonjol Vokal Sebenar Wanie Ooi

‘BUKTI CINTA’ MENONJOL VOKAL SEBENAR WANIE OOI

Petaling Jaya – Wanie Ooi, kini muncul dengan single pertamanya berjudul Bukti Cinta, bersama Alternate Records & Talents. Lagu hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan lirik oleh Wan Saleh ini berjaya menonjolkan vokal sebenar Wanie Ooi atau nama sebenarnya Norwani Binti Abdul Latif Ooi

Lirik Bukti Cinta ini adalah berkisarkan tentang perasaan setia dan cinta yang tidak berbelah bahagi antara dua pasang kekasih. Muzik dan lirik yang mendayu serta membawa maksud mendalam dalam ikatan percintaan ini telah menjadi runut atau OST kepada drama “Tarik Aku Ke Syurga”, drama bersiri terbaharu di slot Samarinda. Drama yang dibintangi Zul Ariffin, Nelissa Nizam, Lisdawati, Keith Foo, Izzendra, Ayra Messi, Esma Daniel, Idzham Ismail, Afzan A.Rahman dan Hafreez Adam ini akan disiarkan di TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam, mulai 23 Jun 2022 ini.

Menurut Wanie Ooi, “Lagu Bukti Cinta ini sememangnya sukar untuk dibawa dan mencabar vokal Wanie. Demi peminat dan minat saya dalam nyanyian, Wanie cuba berikan yang terbaik dan menjiwai setiap bait-bait lirik di dalam lagu ini. Harapan Wanie agar semua yang mendengar dapat menerima dan terus memberikan sokongan kepada Wanie.”

Wanie Ooi, bukanlah seorang pendatang baharu di dalam industri muzik tanah air kerana sebelum ini beliau pernah menyertai beberapa pertandingan dan menyertai rancangan realiti TV. Pernah bersama dengan sebuah band perempuan untuk projek khas namun Wanie lebih selesa untuk bergerak solo.

Bakatnya semakin terserlah apabila beliau memasuki program realiti Lagu Cinta Kita musim ke-3 bersama pasangannya Hariz Fayahet. Wanie Ooi juga popular di kalangan Tik Tok Creators dan memiliki pengikut lebih 500 ribu. Sejajar dengan trend masa terkini, Wanie Ooi banyak menghabiskan masa dengan memuat naik video di Tik Tok untuk mengekalkan populariti beliau.

Single Bukti Cinta nyanyian Wanie Ooi, edaran Alternate Records kini boleh didengari di semua saluran digital bermula 17 Jun 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *