Nur Jazlan tidak perlu merendahkan peranan PM – Jamal Yunos
SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos menasihatkan tindakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya menumpukan pengukuhan perpaduan pucuk pimpinan parti, bukannya merendahkan peranan Datuk Seri Ismail Sabri.
Menurutnya, pada ketika ini sebarang kenyataan untuk merendahkan peranan Perdana Menteri sepatutnya tidak berlaku.
“Nur Jazlan perlu bersyukur kerana kerajaan yang mentadbir negara ketika ini adalah daripada Perdana Menteri UMNO.
“Harus diingatkan bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan sementara yang mengambil alih tanggungjawab daripada kegagalan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Ismail Sabri kini sedang memikul beban akibat kegagalan tersebut,” katanya.
Tambah Jamal, mohon semua pihak agar tidak sengaja memburukkan lagi keadaan walaupun tidak mahu bersimpati.
Sebelum ini, Nur Jazlan dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak dapat membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
Disebabkan pengganti Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin belum diputuskan sehingga kini.
Terdahulu, Zuraida bertindak keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun masih berada dalam barisan kabinet. – UTVMediaMsia