Dari Sisa Jadi Rekod, Remadesia Cipta “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” di Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR, 20 September 2026 — Daripada sisa industri kepada sebuah karya berskala gergasi, jenama tempatan remadesia mencatat detik bersejarah apabila “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” hasil inovasi mereka diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Pencapaian itu bukan sekadar mengetengahkan keupayaan menghasilkan produk berskala besar, malah membawa mesej mengenai potensi bahan terpakai untuk diberikan kehidupan kedua menerusi konsep upcycling, reka bentuk kitaran dan hasil kerja tangan.

Menurut Pengasas remadesia, Encik Alfred Kong, nama remadesia membawa identiti “Remade in Malaysia”, selaras dengan visi jenama itu untuk menghasilkan produk upcycle yang diperbuat semula di Malaysia dan seterusnya membawa mesej kelestarian dari Malaysia ke seluruh dunia.

Beliau berkata, remadesia mahu memperluaskan pemahaman masyarakat bahawa bahan industri yang tidak lagi digunakan tidak semestinya perlu berakhir sebagai sisa, sebaliknya boleh diberikan kehidupan kedua dengan ditransformasikan menjadi produk yang berfungsi, tahan lama dan mempunyai nilai tersendiri.

“Di Malaysia sekarang masih tidak ramai yang mengambil bahan industri untuk dijadikan produk upcycle. Sebab itu kita mahu perkembangkan usaha ini dan menunjukkan bahawa bahan yang sudah tidak digunakan masih boleh diberikan kehidupan kedua,” katanya.

Menurut Alfred, penghasilan “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” dan pengiktirafannya dalam Malaysia Book of Records turut mempunyai tujuan yang lebih besar, iaitu menyediakan satu platform untuk memperkenalkan konsep upcycling kepada khalayak yang lebih luas.

“Kita mahu gunakan platform yang besar seperti Malaysia Book of Records untuk menunjukkan kepada ramai orang bahawa upcycling juga mempunyai potensi yang sangat besar. Kita bukan sahaja menggunakan bahan yang sudah dibuang, tetapi boleh mentransformasikannya menjadi sesuatu yang berfungsi dan tahan lama,” katanya.

Beg berkenaan dihasilkan menggunakan tarpaulin industri yang diperoleh semula serta lebihan bahan industri, sekali gus membuktikan bahan yang lazimnya dianggap sebagai sisa masih mempunyai nilai dan boleh ditransformasikan menjadi produk baharu yang praktikal.

Usaha tersebut turut selari dengan aspirasi remadesia untuk menggalakkan ekonomi kitaran (circular economy), iaitu memastikan bahan yang digunakan tidak berakhir begitu sahaja selepas fungsi asalnya tamat.

Menurut Alfred, ketahanan beg itu juga mempunyai kaitan dengan asal-usul bahan yang digunakan kerana tarpaulin tersebut pada asalnya direka untuk kegunaan industri.

“Kenapa beg ini tahan lama? Sebab bahan asalnya memang untuk kegunaan industri. Kita juga memberikan waranti selama 10 tahun. Sekiranya berlaku apa-apa masalah, beg itu boleh digunakan semula atau dibaiki, bukannya terus dibuang dan berakhir di tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi menangani isu lambakan sisa kerana matlamat remadesia bukan sekadar menghasilkan produk baharu daripada bahan terpakai, tetapi memastikan produk tersebut terus mempunyai jangka hayat yang panjang.

Acara berkenaan berlangsung sempena Malaysia Circular Economy & Sustainability Week 2026 di Pavilion Bukit Jalil, Pink Zone, Aras 2.

Pada jam 2 petang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan mencemar duli ke acara tersebut dan melawat pameran berkaitan kelestarian serta ekonomi kitaran.

Majlis penyampaian sijil rasmi Malaysia Book of Records pula berlangsung pada jam 3 petang, sebelum diteruskan dengan sesi fotografi bersama tetamu, rakan media, rakan kerjasama serta pasukan remadesia.

“Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” itu mempunyai ukuran 410 sentimeter tinggi, 210 sentimeter lebar dan 120 sentimeter dalam, dan telah direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai beg upcycle terbesar.

Menurut Alfred, proses menghasilkan beg berskala besar itu mengambil masa kira-kira dua minggu.

Selain aspek kelestarian, beliau berkata keistimewaan remadesia turut terletak pada usaha memperkasa komuniti melalui penglibatan golongan yang memerlukan peluang pekerjaan.

Menurutnya, remadesia bekerjasama dengan Persatuan PSJKM dalam usaha melibatkan wanita B40, ibu tunggal, masyarakat Orang Asli serta penghuni penjara wanita dalam proses penghasilan produk, khususnya kerja-kerja jahitan.

“Kita bukan hanya mahu bercakap tentang sustainability. Kita juga mahu empower community. Mereka terlibat dalam kerja-kerja jahitan dan kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu menjadikan setiap produk remadesia bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut kelestarian, tetapi turut membawa cerita mengenai komuniti yang terlibat dalam proses penghasilannya.

“Setiap beg adalah one of a kind. Mungkin ada sedikit kesan atau ciri daripada kehidupan sebelumnya bahan itu. Jadi setiap beg mempunyai ceritanya sendiri dan itulah yang menjadikan ia unik,” katanya.

Selain itu, remadesia turut menyediakan pelbagai saiz dan jenis beg yang bersifat multi-purpose, dengan harga antara RM39 hingga RM329, bergantung kepada reka bentuk, saiz dan jenis produk.

Alfred berkata pihaknya akan terus mengeluarkan pelbagai produk baharu dari semasa ke semasa, termasuk beberapa idea aplikasi upcycle yang kini masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Memang ada pihak yang sudah approach kita untuk produk lain, tetapi kita belum sampai ke peringkat R&D untuk semua itu. Kita buat step by step. Fokus kita sekarang adalah beg dahulu,” katanya.

Beliau berkata antara produk yang berpotensi dibangunkan pada masa hadapan termasuk barangan berasaskan kasut dan pakaian, namun ia masih dalam perancangan.

Selain pameran “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar”, remadesia turut menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif bagi mendekatkan konsep kelestarian dan upcycling kepada masyarakat.

Antaranya ialah Upcycled Bag Sand Bag Challenge, yang memberi peluang kepada peserta merasai sendiri aspek praktikal dan ketahanan beg remadesia.

Turut disediakan DIY Personalise Corner, membolehkan pengunjung memilih pelbagai aksesori dan elemen hiasan untuk menghasilkan atau memperibadikan beg mengikut gaya masing-masing.

Pengunjung juga boleh bergambar di ruang khas yang menampilkan “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar”, lengkap dengan kostum upcycle dan prop kreatif.

Pada masa sama, remadesia mempamerkan koleksi beg yang dihasilkan daripada bahan diperoleh semula dan lebihan bahan industri.

Pengunjung berpeluang mengetahui proses bagaimana bahan yang asalnya digunakan untuk tujuan industri melalui beberapa peringkat, termasuk pembersihan, pemotongan, reka bentuk dan hasil kerja tangan, sebelum ditransformasikan menjadi produk untuk kegunaan harian.

Sepanjang acara, orang ramai turut dijemput meninggalkan tandatangan pada pemasangan “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” sebagai tanda sokongan terhadap konsep upcycling dan usaha ke arah Malaysia yang lebih hijau.

Menurut Alfred, remadesia juga mempunyai visi untuk menjadikan produk upcycle buatan Malaysia sebagai sesuatu yang dibanggakan, khususnya dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke negara ini.

“Kita punya vision ialah apabila pelancong datang ke Malaysia, mereka kena beli sekurang-kurangnya satu beg yang dibuat di Malaysia. Kita mahu mereka pegang dan bangga dengan produk itu kerana ia membawa cerita dan makna tentang Malaysia,” katanya.

Beliau berkata usaha tersebut merupakan sebahagian daripada hasrat remadesia untuk mewujudkan identiti produk upcycle Malaysia yang boleh dikenali di peringkat lebih luas.

Dalam perkembangan seterusnya, remadesia turut merancang untuk membuka butik milik sendiri pada 2027, tertakluk kepada kesediaan dan perkembangan perniagaan.

Menurut Alfred, produk yang ada ketika ini merupakan batch pertama, justeru pihaknya merancang untuk terus menambah baik produk pada masa akan datang, termasuk dari segi reka bentuk, model, jahitan dan aspek lain berdasarkan maklum balas serta keperluan pengguna.

“Kita tahu produk ini adalah first batch. Coming years kita akan improve — kita akan tukar design, model, improve sewing dan semuanya. Kita mahu produk ini terus berkembang,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya mempertimbangkan pembelian produk upcycle sebagai salah satu cara menyokong usaha mengurangkan pembaziran bahan.

“Bahan yang kita gunakan ini sepatutnya dibuang dan menjadi sampah. Tetapi kita ambil, kita kutip, kita cuci dan kita berikan second life. Jadi apabila orang membeli produk ini, mereka bukan sahaja membeli sebuah beg, tetapi turut menyokong usaha memberikan kehidupan kedua kepada bahan tersebut,” katanya.

Dengan slogan “Diperbuat Daripada Sisa. Dibina Untuk Tahan Lama,” remadesia menyasarkan untuk terus memperluaskan rangkaian produk serta membina kesedaran mengenai upcycling dan ekonomi kitaran.

remadesia merupakan antara jenama beg tarpaulin industri upcycle terawal di Malaysia yang mentransformasikan sisa industri menjadi produk yang tahan lasak dan mempunyai tujuan, dihasilkan di Malaysia sambil menyokong komuniti tempatan.

Dengan pengalaman lebih tiga generasi dalam bidang pembuatan kanvas, remadesia menggabungkan kemahiran pertukangan dengan reka bentuk kitaran bagi memberikan nilai baharu kepada bahan sedia ada.

Jenama itu turut membawa aspirasi untuk menjadikan beg remadesia sebagai cenderamata Malaysia yang bermakna, membolehkan pengunjung membawa pulang produk unik yang bukan sahaja mempunyai nilai tersendiri, malah membawa cerita tentang kelestarian, hasil kerja tangan dan impak kepada komuniti.

“Diperbuat Daripada Sisa. Dibina Untuk Tahan Lama.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *