KUALA LUMPUR – Decathlon Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam industri sukan menerusi pengenalan kedai flagship terbaharu di Merdeka 118 yang menawarkan pengalaman membeli-belah berteraskan gaya hidup aktif serta kepelbagaian aktiviti sukan.
Menampilkan produk dan perkhidmatan bagi lebih 60 jenis sukan, premis berkenaan menyediakan pilihan kepada pengguna daripada golongan yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti sukan sehinggalah atlet berpengalaman.
Penawaran pelbagai produk pada harga berpatutan serta penyelesaian inovatif menjadi antara pendekatan syarikat itu dalam memastikan keperluan pengguna dapat dipenuhi tanpa mengira tahap pengalaman dan minat masing-masing.
Menariknya, kedai flagship berkenaan turut membawa identiti tersendiri apabila menggabungkan elemen warisan budaya Malaysia dalam konsep reka bentuknya.
Inspirasi reka bentuk diambil daripada sejarah pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, termasuk penggunaan sentuhan corak tradisional songket yang disesuaikan dengan elemen moden.
Gabungan tersebut menjadikan Decathlon Merdeka 118 bukan sekadar destinasi membeli-belah barangan sukan, sebaliknya sebuah ruang yang mengetengahkan hubungan antara budaya, sejarah dan gaya hidup kontemporari.
Decathlon turut berpegang kepada empat nilai utama iaitu Vitaliti, Kemurahan Hati, Tanggungjawab dan Keaslian dalam usaha menyatukan komuniti serta menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan lebih aktif dan sihat.
Komitmen itu selari dengan kepercayaan syarikat bahawa sukan seharusnya dapat diakses dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Menerusi pembukaan destinasi berkenaan, Decathlon berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk meneroka pelbagai aktiviti sukan, membina hubungan komuniti dan menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.







Komen (0)