KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2026 – Usaha memperkasa komuniti India Malaysia perlu bermula dengan membina generasi muda yang berilmu, berkeyakinan dan mempunyai kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat.
Atas matlamat itu, DharmaNEXT Conference 2026 menghimpunkan seramai 150 kanak-kanak dan belia India berusia antara sembilan hingga 19 tahun dalam sebuah persidangan yang memberi ruang kepada mereka untuk belajar, berkongsi pandangan, mencetuskan idea serta membangunkan projek untuk manfaat komuniti.
Persidangan sehari yang berlangsung di Asia-Europe Institute, Universiti Malaya itu dianjurkan oleh Sugam Samskhaaraa di bawah naungan Yayasan SUGAM, dengan kerjasama Kriyalakshmi Gurukulam, Malaysia Hindu Sangam, Malaysia Hindu Dharma Mamandram dan Sri Murugan Centre.
Mengangkat tema “Living Dharma in a Disruptive World”, program tersebut memberi tumpuan kepada usaha menjadikan nilai dan ajaran Dharma lebih relevan dengan kehidupan generasi muda dalam menghadapi perubahan teknologi, media sosial serta cabaran masyarakat masa kini.

Founder & CEO Yayasan SUGAM, Sujitra Jayaseelan, berkata pembangunan komuniti perlu bermula dengan memberi perhatian kepada generasi muda kerana mereka merupakan kesinambungan masa depan masyarakat India Malaysia.
“Kalau kita mahu membangunkan komuniti, kita perlu membangunkan generasi mudanya terlebih dahulu.
Seramai 10 pembicara muda tampil menyampaikan pembentangan bergaya TED yang mengaitkan nilai dan pemikiran Hindu dengan isu-isu semasa.
Selain itu, 10 peserta muda turut mengambil bahagian dalam sesi poster presentation, membolehkan mereka berkongsi pengetahuan serta pandangan mengenai topik yang dipilih.
Menurut Sujitra, pendekatan tersebut penting bagi membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi dalam kalangan generasi muda.
“Bukan hanya orang dewasa yang bercakap kepada mereka. Kita mahu mereka sendiri bercakap, berkongsi idea dan belajar bagaimana untuk menyampaikan pandangan mereka.
Dengan bimbingan fasilitator, peserta diminta menggunakan nilai seperti tanggungjawab, belas kasihan, integriti, rasa hormat dan khidmat kepada masyarakat dalam menghasilkan cadangan penyelesaian.
Idea yang dihasilkan kemudiannya dibentangkan kepada panel untuk penilaian, dengan tiga projek terpilih dikenal pasti untuk menerima sokongan lanjut termasuk peluang mendapatkan mentoring dan seed support.


“Kita mahu mereka bukan sahaja berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Apabila mereka berjaya nanti, kita mahu mereka mempunyai keinginan untuk kembali membantu komuniti dan menggunakan ilmu serta kemahiran mereka untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata, nilai yang diterapkan kepada generasi muda perlu diterjemahkan melalui tindakan dan bukan sekadar menjadi pengetahuan.
“Dharma bukan hanya sesuatu untuk dipelajari atau dibincangkan. Ia perlu diterjemahkan kepada pilihan yang baik, khidmat kepada masyarakat dan tindakan.
“Apabila generasi muda kita mempunyai nilai dan kesedaran untuk membantu orang lain, mereka bukan sahaja membina masa depan diri sendiri, tetapi turut membantu membina komuniti yang lebih kuat,” katanya.
Sujitra berkata, penggunaan Bahasa Inggeris tidak bermaksud mengetepikan bahasa warisan, sebaliknya menjadi satu lagi medium untuk memastikan ilmu dan nilai dapat disampaikan kepada generasi muda secara lebih inklusif.
“Bahasa Tamil dan bahasa India lain kekal sebagai sebahagian penting daripada warisan kita. Namun kita juga perlu menyediakan laluan lain supaya setiap anak muda dapat memahami Dharma, bertanya soalan dan membina hubungan dengan nilai yang mereka pelajari,” katanya.
Daripada kanak-kanak berusia sembilan tahun sehingga belia berusia 19 tahun, peserta diberikan ruang untuk mengembangkan bakat, meningkatkan keyakinan serta memikirkan penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan kepada masyarakat.
Usaha seperti itu dilihat penting dalam membina komuniti India Malaysia yang lebih kuat, bersatu dan progresif melalui pendidikan, pembangunan sahsiah serta penglibatan aktif generasi muda.

Penganjur berharap DharmaNEXT dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform yang konsisten dalam melahirkan generasi muda India Malaysia yang berilmu, berintegriti, berkeyakinan, kreatif dan mempunyai semangat untuk menyumbang kepada komuniti serta negara.
Bagi Yayasan SUGAM, pembangunan generasi muda bukan sekadar membina masa depan mereka sendiri, tetapi merupakan satu pelaburan jangka panjang untuk memastikan komuniti India Malaysia terus berkembang dan mempunyai generasi pelapis yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.



