Gerakan MUDA Gerakan Tanah AAir (GTA) sedar dan cakna terhadap kemelut politik orang melayu

  • August 13, 2022
  • 3 min read
Gerakan MUDA Gerakan Tanah AAir (GTA) sedar dan cakna terhadap kemelut politik orang melayu

Gerakan Muda GTA amat sedar dan cakna terhadap respon pelbagai pihak pasca pengumuman penubuhan Gerakan Tanah Air baru-baru ini sebagai satu alternatif baru buat orang-orang Melayu khususnya dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya. Kemelut politik negara yang penuh dengan drama, ketidakjujuran dan adegan lompat parti sebelum ini telah menyebabkan anak muda merasa jauh dan letih akan kedudukan politik negara khususnya politik kepartian.

Pada masa ini, secara empirikal, anak muda dilihat lebih selesa untuk berpartisipasi dalam politik kenegaraan tanpa menyertai mana-mana parti politik dengan menzahirkan pandangan politik mereka berkenaan isu semasa dan perkembangan politik negara melalui media sosial secara terbuka. Begitu juga dengan penubuhan GTA, yang diyakini sudah mula menjadi buah mulut dan menarik perhatian kumpulan anak muda untuk mengetahui tentangnya lebih lanjut.

Namun begitu, ramai pendokong dan aktivis parti politik diluar sana mula mengulas penubuhan Gerakan Tanah Air dengan pelbagai pandangan dan persepsi. Perlu ditegaskan bahawa hasrat penubuhan GTA adalah sebagai satu gerakan rakyat yang inklusif dalam mempertahan perlembagaan, menegak kebenaran, serta menyatukan kekuatan orang Melayu bagi membangun sosio-ekonomi dan pendidikan yang lebih mampan.

Justeru, kepimpinan anak muda dalam Gerakan ini ingin menyatakan pendirian dengan menyokong penuh penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan oleh YB Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan kerjasama antara Parti Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman serta barisan NGO-NGO, cendekiawan, agamawan, profesional dan orang perseorangan yang berpengaruh bagi menjayakan misi menukar dan membentuk kerajaan dengan bersaing dengan parti teras bangsa Melayu seperti UMNO yang telah menyeleweng dan membawa kepada keruntuhan moral kerajaan pimpinan orang Melayu.

Oleh itu, Gerakan Muda GTA hari ini menawarkan barisan kepimpinan anak muda yang kompeten,dan ingin menyeru, serta menjemput anak muda di luar sana untuk menyertai bersama Gerakan Muda dan bersatu mengangkat kepimpinan baharu Malaysia dengan calon-calon anak muda Melayu berwibawa, berprinsip dan berkelayakan. GMGTA juga bersedia dan terbuka untuk diadakan sesi dialog dan rundingan dengan mana-mana individu, NGO, atau Gerakan anak muda yang mempunyai agenda dan cita-cita yang sama agar pentas politik negara segar dengan idea dan model survival anak muda sebagai generasi pelapis.

Sudah tiba masanya untuk mengembalikan identiti sebenar kepimpinan Melayu yang pernah menempa nama dalam sejarah dunia yang penuh gemilang. Sejarah kejayaan mengubah kerajaan pada PRU-14 lalu sepatutnya dijadikan contoh dan bukti bahawa orang-orang Melayu telah bersedia dan boleh membuat perubahan. Ini merupakan peluang terbaik untuk seluruh anak muda agar segera bertindak untuk memastikan kelangsungan diri dan generasi yang bakal menerajui watan ini pada masa depan yang unggul serta bermaruah dengan penuh wibawa dan cemerlang.GERAKAN MUDA GERAKAN TANAH AIR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *